Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Mukhriz Mahathir berkata penyertaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) merupakan langkah penyatuan kekuatan politik yang lebih besar demi memastikan negara tidak terus berdepan perpecahan, ketidakstabilan dan kegagalan kepimpinan.
Menurut beliau, ketika negara sedang berhadapan pelbagai cabaran melibatkan ekonomi, sosial dan keselamatan, keutamaan perlu diberikan kepada usaha menyatukan ummah serta membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan lebih berwibawa.
Katanya, keputusan itu juga selaras dengan pendirian Pejuang yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan parti mahupun individu.
“Kepentingan agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa mengatasi kepimpinan parti serta individu.
“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan saf perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara.
“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar dalam menyatukan kekuatan umat dan membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mukhriz turut menegaskan Pejuang akan terus berpegang kepada prinsip integriti, keadilan dan tadbir urus yang baik selain komited memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Pejuang dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) diterima sebagai parti komponen baharu dalam gabungan itu.
Menurutnya, keputusan tersebut dicapai menerusi mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang turut dihadiri pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Rakyat India Malaysia.
Wawasan sebelum ini dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia sebelum dijenamakan semula selepas diambil alih oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin bersama penyokongnya.
Pejuang pula ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad selepas beliau bersama beberapa penyokong dipecat daripada Bersatu.