Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rakyat Indonesia Akui Cemburu Malaysia Turunkan Harga Petrol RON95
Sebahagian rakyat Indonesia meluahkan rasa kagum dan iri hati dengan inisiatif yang dilakukan oleh Malaysia dalam menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, berkuat kuasa 30 September 2025 ini.
Menerusi hantaran portal berita republik itu, Kumparan, harga RON95 di Malaysia akan turun menjadi RM 1.99 seliter (sekitar Rp 7.880 seliter berdasarkan kadar tukaran Rp3,960 setiap RM1).
Sementara untuk warga asing akan membayar lebih tinggi, RM2.60 seliter atau kira-kira Rp 10.296 seliter.
Langkah ini dianggap sebagai strategi penting kerajaan Malaysia dalam mengawal defisit fiskal, melalui pelaksanaan subsidi bersasar yang memastikan rakyat tidak terbeban.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen Indonesia cemburu dengan langkah yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.
Malah, ada yang mempersoalkan bagaimana Malaysia mampu meraih keuntungan melalui penetapan harga minyak berkenaan.
“Macam mana boleh ya? Padahal katanya kita negara yang besar. Tapi kenapa kalah dengan Malaysia?” komen seorang pengguna.
“Yang dibaca itu RM 1.99, betapa murah harga petrol di Malaysia, padahal mereka bukan penghasil minyak, kenapa boleh? Pentadbiran mereka memang untuk kepentingan rakyat,” luah seorang lagi.
“Tahniah untuk rakyat Malaysia,” komen seorang pengguna.
“Kenapa Indonesia tidak boleh macam ini? Kualiti di atas Pertamax dan harga di bawah Pertalite,” komen seorang lagi.
Terdahulu pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.
Perdana Menteri berkata semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter namun pemandu e-hailing dikecualikan dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi.
Beliau juga berkata sebagai penghargaan, warga polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter bagi RON95 itu pada Sabtu depan (27 Sept) iaitu sebelum tarikh kuat kuasa rasmi.
Golongan B40, yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah, juga akan mula menikmati harga istimewa itu pada Ahad (28 Sept) dan pelaksanaan ini supaya rakyat dapat membiasakan diri dengan mekanisme RON95 secara berperingkat.
Sumber: Kumparan