Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rakyat Malaysia Kongsi Detik Cemas Ketika Serangan Di Dubai & Qatar

Serangan Di Dubai
Kredit: Threads

Rakyat Malaysia Kongsi Detik Cemas Ketika Serangan Di Dubai & Qatar

Amerika Syarikat dan Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu lalu, dengan Israel menyifatkannya sebagai "serangan awal" terhadap musuh ketatnya bagi "menghapuskan ancaman".

Serangan itu berlaku selepas Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar‑besaran di rantau berkenaan sebagai langkah memberi tekanan kepada Teheran.

Difahamkan, tindakan itu bertujuan untuk mengurangkan program nuklear Iran, selain susulan tindakan keras kerajaan terhadap protes besar‑besaran.

Rakyat Malaysia kongsi detik cemas

Rakyat Malaysia yang berada di Dubai dan Qatar berkongsi pengalaman mereka ketika negara tersebut diserang, menggambarkan suasana panik dan cemas yang melanda penduduk serta pelancong.

Menerusi beberapa hantaran di Threads, mereka menceritakan pengalaman masing-masing secara terperinci, sambil mengekalkan ketenangan dalam menghadapi situasi luar jangka.

Rakyat Malaysia Di UAE kongsi pengalaman

Bernama melaporkan seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kongsi pengalaman beliau ketika serangan berlaku.

"Saya sangkakan pasir yang dicurahkan oleh lori di kawasan pembinaan berdekatan dengan rumah kami..rupa-rupanya misil

Perasaan amat menggerunkan apabila mengetahui keadaan sebenar," menurut Nur Hamiza Ahmad, suri rumah tiga anak yang mengikut suami bertugas di negara itu sejak dua tahun lalu.

Diyakini misil itu disasarkan ke Pangkalan Udara Al Dhafra di selatan Abu Dhabi, yang menjadi hab kritikal Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), terletak kira-kira 50 kilometer (km) jaraknya dari kediaman beliau di Khalifa City.

"Amatlah ditakuti jika ia tersasar. Letupan amat kuat kedengaran sehingga menggegarkan rumah," kedengaran suaranya gementar.

Menurut beliau, kumpulan WhatsApp rakan-rakan senegara turut melahirkan rasa kegentaran dengan pengalaman yang terlalu asing buat mereka.

"Saya amat bimbang tidak dapat pulang berhari raya akibat konflik ini. Semoga peperangan berakhir segera dan ruang udara dibuka semula," katanya, yang tidak sempat pulang ketika kakak sulungnya meninggal dunia pada hari ketiga Ramadan baru-baru ini.

“Tiket pulang pun sudah dibeli… oleh-oleh pun sudah saya siapkan untuk adik-beradik,” tambahnya yang merancang untuk pulang ke Teluk Intan, Perak pada 16 Mac nanti.

Ketika temu bual dijalankan, masih kedengaran lintasan misil yang menggegarkan rumah.

"Tidak kurang dari 10 misil melintas di atas bumbung rumah kami," katanya.

Beliau turut berkongsi tangkap layar pesanan dari syarikat telekomunikasi agar berlindung di bangunan selamat dan menjauhi tingkap, pintu dan kawasan lapang.

Menurut beliau lagi, ada pasangan rakan-rakan yang mengambil peluang hari minggu keluar memancing di laut diminta pulang ke darat oleh pihak berkuasa Abu Dhabi.

"Buat masa ini kami hanya mampu berdoa agar kami selamat.. juga menunggu arahan Pihak Kedutaan dan memantau berita terkini dari masa ke semasa," katanya.