Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Ramai Terkedu Bila Orang Luar ‘Komen’ Pasal Penghargaan SARA

Hannah
komen penghargaan SARA
Gambar: TikTok @handynandy / BERNAMA

Ramai Terkedu Bila Orang Luar ‘Komen’ Pasal Penghargaan SARA

Bulan Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa berita baik yang cukup bermakna buat rakyat Malaysia.

Antara inisiatif yang paling mencuri tumpuan ialah pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off kepada setiap rakyat dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Seperti diumum, ia adalah bersempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos lalu sebagai tanda kasih dan penghargaan kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Peruntukan yang disediakan juga bukan kecil jumlahnya, mencecah RM2 bilion dan memberi manfaat kepada hampir 22 juta rakyat Malaysia.

Apa yang lebih istimewa, ini adalah kali pertama dalam sejarah negara bantuan tunai ini diagihkan kepada semua rakyat dewasa tanpa terkecuali.

Sejak pengumuman itu, ribuan rakyat mula menerima bantuan ini melalui MyKad bermula 31 Ogos.

Tidak dinafikan, ada sedikit ‘kekecohan’ berlaku apabila sistem MyKasih dilaporkan tergendala akibat trafik pembelian yang terlalu tinggi.

Namun, hakikatnya ramai yang tetap bersyukur kerana usaha kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban harian mereka.

Bagi sesetengah orang, RM100 mungkin dianggap kecil. Tetapi buat mereka yang benar-benar memerlukan, jumlah itu sangat besar maknanya.

“Salute, pemerintah Malaysia.” – Netizen Luar

Lebih mengejutkan, langkah ini tidak hanya mendapat reaksi dalam negara, bahkan mencuri perhatian luar. Seorang netizen Indonesia dalam satu video tular mengaku kagum dengan inisiatif Malaysia ini.

“Well, mahu itu isu kebangsaan, isu politik atau isu ekonomi, apa yang saya lihat di sini adalah salute dengan pemerintah Malaysia.

“Mereka benar-benar bergerak cepat melakukan aksi nyata, hadiah secara langsung buat masyarakat.

“Mungkin pemberian RM100 dan penurunan harga minyak tidak banyak berpengaruh, tapi di sini suara rakyat langsung didengarkan,” katanya.

Tidak terhenti di situ, ruangan komen portal berita luar yang melaporkan tentang SARA ini turut menjadi perhatian. Mana tidaknya, ia dibanjiri dengan kata-kata pujian terhadap kerajaan Malaysia.

Pemimpin ASEAN pun ‘tertanya-tanya’

Menariknya, inisiatif ini turut menjadi bahan perbincangan di kalangan pemimpin negara jiran.

Datuk Seri Anwar mendedahkan bahawa rakan sejawatnya di ASEAN turut kagum dengan langkah Malaysia. Bahkan, mereka mengakui inisiatif tersebut sebagai sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

“Perdana Menteri Vietnam (Pham Minh Chinh) baru-baru ini umumkan bantuan kepada rakyat sekitar RM50 seorang, dia tanya saya macam mana (laksanakan bantuan seperti SARA)… Kita belanja RM15 bilion untuk SARA ni.

“Bila kita cakap soal SARA, ada yang mencemuh, tapi mereka lupa bahawa itu tambahan kepada SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” kongsi beliau.

Bukan hanya SARA, RUU Pekerja Gig pun jadi sorotan

Selain SARA, satu lagi langkah kerajaan yang turut mendapat perhatian luar negara ialah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025.

RUU ini yang baru dibentangkan di Dewan Rakyat, dilihat sebagai usaha kerajaan untuk melindungi golongan pekerja dalam sektor gig seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

Langkah ini dianggap berani kerana kebanyakan negara masih bergelut mencari formula terbaik untuk menjaga kebajikan pekerja gig yang jumlahnya semakin meningkat.

Mungkin ‘kecil’ bagi kita, tapi besar maknanya buat mereka yang kurang beruntung

Kalau kita lihat dari kaca mata rakyat Malaysia, mungkin ada yang menganggap bantuan RM100 ini “tidak besar mana”. Tetapi kalau kita renungkan semula, bukankah ia lebih baik daripada tiada langsung?

Di luar sana, ramai rakyat di negara lain hanya mampu mengeluh kerana tidak pernah merasai keprihatinan seperti ini daripada pemerintah mereka.

Ada negara yang lebih kaya daripada Malaysia, tetapi belum tentu mampu melaksanakan inisiatif seumpama ini kerana kosnya terlalu tinggi.

Justeru, sebagai rakyat, kita wajar menghargai setiap usaha yang diambil oleh kerajaan, sama ada besar atau kecil jumlahnya.

Apa yang berlaku menunjukkan betapa pentingnya kita melihat sesuatu dengan rasa syukur. Kadangkala perkara yang nampak kecil bagi kita, sebenarnya besar maknanya bagi orang lain.

BACA: Lelaki Indonesia Cerita Sebab Malaysia Berbeza Dari Negara Lain

BACA: Rakyat Malaysia Buat Warga Indonesia ‘Terkedu’, Ucap Terima Kasih Tak Putus-Putus

BACA: Dah Travel Merata, Pelancong Ni Paling ‘Hairan’ Dengan Rakyat Malaysia

Sumber: TikTok @handynandy