Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rasa Macam Daging, Resipi Terung Ini Buatkan Anak Makan Bertambah-Tambah
Tidak dinafikan, juadah yang berasaskan sayur-sayuran kurang digemari oleh anak-anak. Mungkin, ada antara mereka yang menganggap rasanya yang tidak begitu sedap atau teksturnya yang pelik.
Sebenarnya, sayur-sayuran mempunyai pelbagai khasiat seperti vitamin, serat dan mineral yang membantu mengekalkan kesihatan tubuh.
Untuk memastikan anak-anak kekal makan sayur, ibu bapa sepatutnya kreatif dan mencuba untuk mengolah sayuran tersebut menjadi resipi yang menarik.
Salah seorang pengguna Facebook, Dapur Mbak Lies ada berkongsi resipi sayur terung yang dimasak olehnya. Sangat mudah dan sedap, rasanya juga seperti hidangan daging.
Jom cuba resipi yang dikongsi olehnya di bawah ini.
Terung
Garam
Telur
Tepung serbaguna
Tepung jagung
Bawang putih
Cili padi hijau dan merah
Daun bawang
Kicap manis
Sos tiram
Sos cili
Lada sulah
Air
Garam
Mula-mula potong terung kepada beberapa bahagian yang kecil. Seterusnya rendam dan cuci terung tersebut di dalam larutan air garam.
Selepas itu, toskan terung tersebut. Masukkan sebiji telur dan gaul sebati. Kemudian, masukkan dua sudu tepung jagung, dua sudu tepung serbaguna dan gaul rata terung tersebut. Selepas semuanya rata, biarkan ia lebih kurang 10 minit supaya semua perencah meresap.
Sementara terung tersebut diperap, anda boleh hiriskan dua ulas bawang putih, 10 tangkai cili padi hijau, 10 tangkai cili padi merah dan dua batang daun bawang.
Untuk penyediaan sos, campurkan dua sudu kicap manis, satu sudu sos tiram, satu sudu lada sulah, satu sudu sos cili, 1/2 sudu garam dan 200ml air. Kemudian, aduk sebati kesemuanya.
Selepas adunan sos tersebut selesai, anda boleh mula menggoreng terung yang telah diperap tadi. Jangan lupa untuk pusingkan terung tersebut bagi mengelakkan ia hangit.
Selepas terung tersebut bertukar warna keperangan, anda boleh angkat terung tersebut dan toskan. Kemudian, tumiskan bawang putih yang telah dicincang halus tadi. Selepas bawang putih berubah menjadi keperangan, masukkan campuran sos yang telah dicampur tadi.
Biarkan sehingga sos tersebut mendidih dan anda boleh masukkan garam. Setelah mendidih, anda boleh masukkan terung yang telah digoreng tadi.
Gaul sebati kesemuanya. Kemudian, masukkan cili merah dan cili hijau yang telah dipotong tadi.
Sebelum anda tutup api, taburkan daun bawang. Masakan anda sedia untuk dihidang.
Menurutnya lagi, resipi ini mampu membuat anak dan suaminya makan nasi sehingga berpinggan-pinggan.
Untuk lebih teliti, anda boleh tonton video di bawah ini.
Sumber: Dapur Mbak Lies