Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seperti yang kita tahu kematian merupakan satu perkara yang pasti akan berlaku kepada setiap orang tanpa mengira latar belakang, usia ataupun pangkat.
Tidak dinafikan juga, apabila menerima berita pemergian seseorang yang kita rapat, sama ada ahli keluarga ataupun kawan-kawan, sudah tentu perasaan sedih membelenggu setiap orang.
Walaupun ia sebahagian daripada kehidupan, kehilangan tetap sesuatu yang sukar untuk diterima, terutama bila berlaku secara tiba-tiba.
Baru-baru ini, personaliti TikTok yang juga merupakan anggota bomba, Muhammad Shafirul Ismail, 32 atau lebih mesra disapa Ayun telah menghembuskan nafas terakhir.
Arwah dikhabarkan meninggal dunia sekitar jam 9 malam pada 1 Julai lalu.
Perkara itu juga telah disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan beberapa kenalan serta ahli keluarga arwah.

Sebelum ini, arwah merupakan seorang individu yang dikenali dengan sifat yang ceria dan sering menghasilkan content santai di TikTok.
Bukan itu sahaja, Ayun juga sering berkongsi sisi kehidupannya sebagai anggota bomba kepada lebih 51,000 pengikutnya.


Mengikut perkongsian dari salah seorang sepupu yang mewakili keluarga arwah, @fah.razman di Threads, pemergian arwah dikatakan berpunca dari demam teruk sehingga menyebabkan arwah terjatuh.

Sementara itu, JBPM Selangor dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan bahawa pihaknya telah menziarahi ahli keluarga arwah dan memberikan sumbangan.
"Pengarah JBPM Negeri Selangor Datuk Wan Md Razali Wan Ismail, hadir ziarah kematian arwah PB Muhamad Shafirul Ismail, Pegawai Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam," katanya.
Jenazah telah dibedah siasat dan dimandi serta dikafankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum disolatkan di Surau BBP Shah Alam.
Selepas itu, jenazah telah dihantar ke kampung arwah di Jasin Melaka.


"Pengarah juga turut menyampaikan sumbangan daripada Pertubuhan Badan Khairat Kematian JBPM Negeri Selangor dan sumbangan daripada Persatuan Kebajikan JBPM serta sumbangan Khairat Kematian daripada KOBOPEM kepada Ibu arwah.
"Semoga keluarga arwah tabah menghadapi ujian ini, seluruh warga kerja JBPM Negeri Selangor mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh," ujarnya lagi.
Salam takziah buat keluarga arwah, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.