Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ribut Tropika Senyar Melemah, Diturun Taraf Sistem Cuaca Tekanan Rendah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Ribut Tropika Senyar telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut itu kini berada di tengah Semenanjung Malaysia dan diramal akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.
“Berdasarkan pencerapan radar cuaca MET Malaysia, Senyar telah mendarat (landfall) sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan.
“Walaupun sistem cuaca tersebut semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora, di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pahang dan Terengganu,” katanya.
Tambah beliau, corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga 29 November 2025 (Sabtu).
“MET Malaysia akan terus memantau keadaan ini dan akan mengemaskini maklumat dan amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,”maklum jabatan itu lagi.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia