Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebanyak RM19.87 bilion dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh 5.5 juta ahli, setakat 31 Mei lalu.
Kementerian Kewangan berkata, baki simpanan dalam akaun itu hingga tempoh sama pula adalah sebanyak RM14.36 bilion.
Berdasarkan laporan penyelidikan “Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing" yang diterbitkan pada April lalu, statistik bagi tempoh kajian dari Mei 2024 hingga Oktober 2025 mendapati kira-kira 37 peratus (5.0 juta ahli atau daripada 13.3 juta) ahli berumur di bawah 55 tahun telah membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada Akaun Fleksibel, manakala 63 peratus (8.4 juta ahli) tidak membuat sebarang pengeluaran.
"Dalam kalangan ahli yang tidak membuat pengeluaran, sebanyak 44 peratus mempunyai baki simpanan yang mencukupi tetapi memilih untuk mengekalkan simpanan mereka.
"Manakala 56 peratus pula tidak membuat pengeluaran disebabkan baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel adalah sifar atau terlalu rendah iaitu di bawah amaun minimum RM50 untuk pengeluaran.
"Laporan yang sama turut menunjukkan bahawa ahli yang membuat pengeluaran Akaun Fleksibel menggunakan kemudahan ini terutamanya untuk menyokong keperluan hidup dan pengurusan perbelanjaan seharian.
"Antara tujuan utama pengeluaran ialah untuk memenuhi keperluan harian diikuti perbelanjaan rawatan kesihatan dan pembayaran hutang," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Kementerian Kewangan menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan daya tahan dana persaraan KWSP bagi menjamin kelestarian pelan persaraan hari tua ahli pada masa depan, mengambil kira perubahan dan trend pengeluaran dana individu KWSP melalui akaun 3 setakat ini
Menurut Kementerian Kewangan, analisis KWSP juga mendapati corak pengeluaran Akaun Fleksibel semakin stabil selepas fasa awal pelaksanaannya, dengan jumlah pengeluaran bulanan menurun secara beransur-ansur kepada purata sekitar RM0.44 bilion sebulan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.
Pada masa yang sama, kadar agihan caruman ke dalam Akaun Persaraan telah ditingkatkan daripada 70 peratus kepada 75 peratus.
"Langkah ini telah menambah sebanyak RM9.1 bilion ke dalam Akaun Persaraan bagi tempoh Mei 2024 hingga Disember 2025, sekaligus membantu ahli mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan untuk menampung keperluan kewangan semasa persaraan
"Sejak pelaksanaannya, sebahagian ahli KWSP telah memanfaatkan kemudahan ini bagi memenuhi keperluan kewangan jangka pendek serta meningkatkan aliran tunai ketika menghadapi situasi kecemasan atau keperluan mendesak.
"Bagi memastikan daya tahan dana persaraan KWSP serta kelestarian pelan persaraan jangka panjang, Kerajaan bersama KWSP terus mengambil beberapa langkah utama, antaranya mengekalkan struktur simpanan teras, melaksanakan pemantauan berterusan terhadap trend pengeluaran Akaun Fleksibel.
"Selain memperkukuh literasi kewangan ahli, menggalakkan caruman tambahan dan sukarela, mengamalkan pengurusan pelaburan yang berhemat dan mampan, serta melaksanakan penilaian dasar secara berkala.
"Langkah-langkah ini penting bagi memastikan keseimbangan antara keperluan kewangan jangka pendek ahli dan kecukupan simpanan persaraan jangka panjang terus terpelihara," katanya lagi.
Untuk makluman, Akaun Fleksibel yang telah diperkenalkan pada 11 Mei 2024 adalah sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP bagi mencapai keseimbangan antara keperluan kewangan jangka pendek ahli dan kecukupan simpanan persaraan jangka panjang.