Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RM30 Sebulan, Peniaga Boleh Mohon Permit Meja Dan Kerusi Di Kaki Lima

Permit meja dan kerusi
Kredit: Facebook DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan tiga penambahbaikan bagi memudahkan urusan peniaga di ibu negara susulan sesi libat urus bersama pengusaha premis makanan dan persatuan berkaitan.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahbaikan itu melibatkan permit meja dan kerusi di kaki lima, permit kerja kecil serta pembukaan semula premis selepas tindakan kebersihan.

Sesi libat urus itu diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta wakil Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Sesi libat urus terdahulu bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) turut menyentuh isu yang dihadapi pengusaha premis makanan, khususnya berkaitan proses pembukaan semula premis.

DBKL berkata sesi berkenaan bertujuan mendengar isu dan cabaran yang dihadapi pengusaha serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses penyampaian perkhidmatan.

Penambahbaikan itu terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat ditetapkan tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.

Permit meja dan kerusi di kaki lima

Bayaran permit akan ditetapkan pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set meja dan kerusi.

Permohonan boleh dikemukakan melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi serta kelebaran kaki lima.

Sebarang kelulusan tertakluk kepada syarat bahawa laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda serta akses bagi operasi kecemasan tidak terhalang.

Permit kerja kecil

Bagi kerja kecil seperti pertukaran jubin atau siling yang tidak melibatkan perubahan kepada struktur bangunan, pemohon hanya perlu mengisi borang dan membuat pemakluman kepada DBKL.

Permit berkenaan boleh dikeluarkan secara terus melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

Penambahbaikan itu bertujuan mempercepatkan proses permohonan bagi kerja berisiko rendah tanpa menjejaskan keperluan pematuhan dan keselamatan.

Pembukaan semula premis selepas tindakan kebersihan

Premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas tindakan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.

Bagaimanapun, pembukaan semula bukan secara automatik dan hanya dibenarkan selepas pemeriksaan serta pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan dan keselamatan makanan telah dipenuhi.

DBKL berkata ketiga-tiga penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses yang tidak perlu serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, DBKL akan memastikan setiap kelonggaran proses dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan, aksesibiliti dan kepentingan awam.

Menurut DBKL, penambahbaikan itu turut membantu menyeragamkan proses, syarat dan pelaksanaan penguatkuasaan di peringkat cawangan supaya peniaga menerima maklumat yang lebih jelas dan konsisten.

“Proses yang jelas dan seragam bukan sahaja memberi kepastian kepada peniaga, malah memudahkan pegawai menjalankan tugas serta mengurangkan ruang kepada perbezaan tafsiran dalam pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.

DBKL komited untuk terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih cekap, telus dan berintegriti bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang mesra perniagaan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat.

Sumber:DBKL
Intipati
  • DBKL akan memperkenalkan tiga penambahbaikan bagi memudahkan urusan peniaga di Kuala Lumpur.
  • Permit meja dan kerusi di kaki lima ditetapkan RM30 sebulan setiap set.
  • Premis ditutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan dibuka semula seawal 24 jam.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan