Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RM34.19 Juta Lampu Solar Untuk 362 Lokasi Jalan Persekutuan - Nanta

SOLAR
Kredit: Facebook Alexander Nanta Linggi

RM34.19 Juta Lampu Solar Untuk 362 Lokasi Jalan Persekutuan - Nanta

Sebanyak RM34.19 juta diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di 362 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh negara pada 2026, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Program Pantau MADANI 2026 turut melaksanakan pemasangan 3,000 tiang lampu solar LED di 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan peruntukan fasa awal sebanyak RM25.2 juta dan disasarkan siap menjelang penghujung November ini.

“Dua inisiatif berbeza, tetapi matlamatnya sama iaitu meningkatkan keselamatan dan kebolehlihatan pengguna di Jalan Persekutuan serta lebuh raya, khususnya pada waktu malam.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi nilai kepada rakyat – jalan lebih terang, perjalanan lebih selamat dan infrastruktur yang tahan untuk jangka panjang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang SBC Lighting Sdn. Bhd. di Klang pagi tadi bagi melihat sendiri proses pengeluaran, keupayaan industri tempatan serta aspek kualiti dan pematuhan standard lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED).

Katanya, lawatan itu merupakan susulan kepada inisiatif kerajaan memperluas penggunaan lampu jalan solar secara bersasar, khususnya di lokasi yang memerlukan pencahayaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, Nanta berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap aspek kualiti apabila melibatkan pelaburan awam dalam jumlah besar.

“Kita bukan sekadar mahu lebih banyak lampu dipasang, tetapi memastikan produk yang digunakan memenuhi spesifikasi teknikal, tahan lasak dan mampu beroperasi dengan baik untuk jangka panjang,” ujarnya.

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan Garis Panduan Penggunaan Lampu Jalan Jenis ISLED bagi projek kerajaan bagi memastikan produk yang digunakan memenuhi standard ditetapkan, termasuk keperluan jaminan selama lima tahun.

Jelasnya, teknologi berkenaan juga bukan perkara baharu apabila 19,493 unit ISLED telah dipasang di Semenanjung Malaysia sehingga Mei 2026.

“Produk bagi projek kerajaan pula perlu melalui proses pendaftaran Electrical Material Approved List (EMAL) JKR sebagai sebahagian daripada kawalan standard dan kualiti,” katanya.

Nanta berkata, lampu solar untuk jalan raya juga tidak boleh disamakan dengan produk kegunaan persendirian yang berada di pasaran kerana spesifikasinya perlu mengambil kira pelbagai faktor.

Antaranya termasuk tahap pencahayaan, kekuatan struktur, kapasiti bateri, ketinggian tiang, ketahanan terhadap cuaca serta aspek keselamatan pengguna.

Menurutnya, pemasangan lampu solar akan terus dilaksanakan secara bersasar berdasarkan kesesuaian teknikal, keberkesanan kos dan keperluan setempat.

Katanya, ia termasuk kawasan yang jauh daripada grid elektrik serta lokasi yang berdepan isu kecurian kabel dan vandalisme.

“Apabila melibatkan pelaburan kerajaan sebesar ini, kualiti tidak boleh dikompromi. Kita bukan sekadar mahu lebih banyak lampu dipasang, tetapi memastikan setiap pemasangan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Intipati
  • RM34.19 juta diperuntukkan bagi lampu solar LED di 362 lokasi Jalan Persekutuan pada 2026.
  • LLM dan Pantau MADANI 2026 memasang 3,000 tiang lampu di 32 lokasi berisiko tinggi.
  • JKR menetapkan garis panduan ISLED, termasuk pendaftaran EMAL dan jaminan produk selama lima tahun.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan