Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Robot China Pecah Rekod Usain Bolt, Catat 9.39 Saat Dalam 100m

robot
Kredit: BBC News

Sebuah robot humanoid berjaya memecahkan rekod larian pecut 100 meter milik Usain Bolt pada Sukan Robot Humanoid Dunia di Beijing, China pada Sabtu, lapor CBS News.

Dalam larian itu, robot tersebut berjaya menamatkan larian sejauh 100 meter dalam masa 9.39 saat, sekali gus mengatasi rekod 9.58 saat yang dicatat atlet Jamaica itu pada 2009.

Difahamkan, robot berkenaan dibangunkan oleh syarikat X-Humanoid yang berpangkalan di Beijing.

Dalam rakaman acara itu menunjukkan selepas menamatkan larian 100 meter, robot-robot berkenaan merempuh kusyen dan terjatuh ke tanah bagi memberhentikan pergerakan sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung.

Dalam pada itu, sebuah lagi robot yang dibangunkan syarikat sama turut berjaya mengatasi rekod manusia dalam acara lompat tinggi berdiri.

Rekod Lompat Tinggi Juga Dipecahkan Robot

Robot humanoid itu mencatat ketinggian 2.88 meter, mengatasi rekod 2.45 meter yang dibuat atlet Cuba, Javier Sotomayor pada 1993.

Bagaimanapun, tidak semua robot berjaya mencatat prestasi baik apabila ada yang tersadung, terjatuh dan pecah berkecai ketika pertandingan, malah ada yang dilaporkan terbakar.

Kedua-dua rekod itu dicatat pada hari pembukaan acara berkonsepkan Olimpik berkenaan yang menyaksikan lebih 2,000 robot humanoid mengambil bahagian, menurut penganjur.

Acara yang kini memasuki tahun kedua itu bertujuan mempamerkan kemajuan pesat China dalam pembangunan teknologi robotik canggih menerusi pelbagai pertandingan sukan termasuk larian, ping pong dan bola sepak.

Pada masa sama, ratusan robot humanoid turut berarak dalam formasi di atas padang dalam satu demonstrasi besar yang mempamerkan koordinasi secara serentak.

China ketika ini mendahului pengeluaran robot humanoid dengan beberapa pengeluar di negara itu mendakwa menerima ribuan tempahan daripada kerajaan dan syarikat swasta.

Namun, beberapa pakar berkata teknologi itu ketika ini masih banyak digunakan untuk demonstrasi dan persembahan serta memerlukan masa sebelum dapat digunakan secara meluas dalam kehidupan sebenar

Sumber:CBS News
Intipati
  • Robot X-Humanoid menamatkan larian 100 meter dalam 9.39 saat di Beijing.
  • Catatan itu mengatasi rekod 9.58 saat Usain Bolt yang dibuat pada 2009.
  • Robot syarikat sama turut mencatat 2.88 meter dalam acara lompat tinggi berdiri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan