Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Risiko Keselamatan, Trump Larang Import Robot Humanoid Buatan Luar Negara

Trump Larang Import Robot Humanoid
Kredit: AFP

Risiko Keselamatan, Trump Larang Import Robot Humanoid Buatan Luar Negara

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengumumkan larangan import robot humanoid dan robot berkaki empat ke negara itu atas alasan keselamatan negara, lapor AFP.

Kebanyakan robot humanoid yang dijual di AS ketika ini dihasilkan di luar negara, khususnya di China.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), kategori baharu dikenali sebagai 'peranti robotik canggih' telah ditambah ke dalam senarai produk dan syarikat yang dilarang diimport ke AS.

Sebelum ini, beberapa jenis dron serta syarikat China seperti Huawei dan China Telecom telah pun tersenarai.

Kini, senarai itu turut merangkumi robot mudah alih iaitu robot yang meniru cara manusia atau haiwan bergerak dengan berjalan menggunakan dua atau empat kaki.

Kredit: AFP

Keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Rumah Putih, yang menyimpulkan bahawa robot buatan luar negara berpotensi mewujudkan risiko keselamatan siber yang boleh mengancam infrastruktur kritikal serta keselamatan penduduk AS.

Bagaimanapun, Jabatan Pertahanan (Pentagon) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) diberi kuasa untuk memberikan pengecualian dalam kes tertentu.

Ketika ini, kebanyakan robot humanoid digunakan dalam sektor perindustrian di kawasan tertutup seperti kilang pembuatan kereta dan gudang penyimpanan.

Antara contoh yang dirujuk oleh pasukan petugas ialah kes melibatkan pengatur cara dari Perancis, Sammy Azdoufal, yang dilaporkan berjaya mengakses data daripada ribuan robot vakum keluaran syarikat China, DJI.

Larangan itu hanya terpakai kepada model baharu dan tidak melibatkan robot yang telah dijual atau diluluskan untuk digunakan di AS sebelum ini.

Langkah tersebut turut dilihat selari dengan usaha pentadbiran Trump untuk memperkukuh sektor pembuatan domestik.

Intipati
  • Pentadbiran Trump melarang import robot humanoid dan berkaki empat buatan luar negara ke AS.
  • FCC menambah kategori peranti robotik canggih dalam senarai produk dilarang import.
  • Pentagon dan DHS boleh memberikan pengecualian bagi larangan itu dalam kes tertentu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan