RSV

RSV Bukan Penyakit Selesema Biasa

Syamimi

RSV Bukan Penyakit Selesema Biasa

Menjelang tahun 2026, keluarga di seluruh Malaysia lazimnya menetapkan azam tahun baharu.

Seperti pemakanan sihat, mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Namun, satu aspek penting kesihatan sering tidak diberi perhatian, iaitu usaha melindungi golongan paling muda dan paling berusia dalam keluarga daripada virus sinsitial respiratori (RSV).

RSV sering disalah anggap sebagai selesema biasa atau influenza bermusim.

Hakikatnya, virus ini merupakan antara punca utama penyakit pernafasan yang serius dalam kalangan bayi di seluruh dunia. Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti RSV sebelum mencapai usia dua tahun.

Bagi sesetengah individu, khususnya bayi baru lahir dan warga emas, jangkitan ini boleh membawa kesan serius dan mengancam nyawa.

Secara global, RSV dianggarkan menyebabkan kira-kira 3.6 juta kemasukan ke hospital dan sekitar 100,000 kematian setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

Kebanyakan kematian ini berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, yang berdepan kekangan akses kepada rawatan hospital.

“RSV merupakan salah satu punca paling lazim jangkitan paru-paru yang teruk dalam kalangan kanak-kanak kecil, namun kebanyakan keluarga masih kurang menyedari tahap keseriusannya,” kataDr Jenny Tan Yen Ling,Pakar Perunding Pediatrik. “Kesedaran awal dan langkah pencegahan boleh menyelamatkan nyawa.”

Mengapa Keluarga Perlu Memberi Perhatian

RSV bukan sahaja menyebabkan jangkitan dalam kalangan bayi.

Warga emas, terutamanya mereka yang berusia 65 tahun ke atas atau yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, asma atau penyakit paru-paru, turut berisiko tinggi.

Bagi bayi berusia bawah enam bulan, RSV boleh menyebabkan pernafasan menjadi cepat dan sukar.

Sesetengah bayi mengalami kesukaran menyusu atau tidur, dan mungkin memerlukan bekalan oksigen atau rawatan rapi.

Dalam kalangan warga emas pula, gejala mungkin bermula secara ringan seperti batuk atau keletihan, namun boleh menjadi lebih teruk dengan cepat dan membawa kepada komplikasi serius.

Dalam banyak isi rumah di Malaysia, datuk dan nenek turut membantu menjaga cucu, dan ahli keluarga sering meluangkan masa bersama di dalam rumah.

RSV mudah merebak melalui batuk, bersin dan kontak rapat. Warga emas yang hanya mengalami batuk ringan mungkin tanpa sedar menyebarkan virus kepada bayi yang baru lahir atau ibu bapa yang lebih berusia.

Kepentingan Pencegahan

Sehingga kini, tiada ubat khusus yang dapat menyembuhkan RSV. Rawatan yang diberikan adalah bersifat sokongan, seperti bantuan oksigen, pemberian cecair dan pemantauan rapi.

Justeru, pencegahan merupakan langkah perlindungan yang penting.

“Apabila melibatkan RSV, pencegahan adalah benteng perlindungan terkuat kita,” ujar Dr Jenny Tan. “Apabila penyakit menjadi teruk, pilihan rawatan adalah terhad.”

Berita baiknya, terdapat kaedah pencegahan baharu yang kini tersedia, menawarkan perlindungan kepada kedua-dua hujung spektrum usia dalam keluarga.

Melindungi Bayi Sejak Dalam Kandungan

Salah satu kemajuan penting dalam pencegahan RSV ialah imunisasi untuk ibu hamil.

Apabila ibu hamil menerima vaksin RSV, lazimnya antara minggu ke-32 hingga ke-36 kehamilan, antibodi perlindungan akan dipindahkan melalui plasenta kepada bayi dalam kandungan, memberikan perlindungan kepada bayi dalam tempoh awal kehidupan, ketika sistem imun mereka masih belum matang dan mereka paling terdedah kepada jangkitan.

Kajian menunjukkan bahawa imunisasi untuk ibu hamil mampu mengurangkan risiko penyakit RSV yang teruk sehingga 82 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kelahiran, dengan perlindungan berterusan sehingga enam bulan pertama kehidupan.

“Imunisasi semasa kehamilan membantu perlindungan bermula sebelum bayi dilahirkan,” kataDr Joyce Lee Chai Yuit,Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi.

Pada tahun 2025, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan pelaksanaan imunisasi RSV semasa kehamilan di peringkat global, sekali gus menyediakan asas saintifik yang kukuh untuk negara-negara merangka strategi perlindungan bagi ibu dan bayi.

Bagi bakal ibu bapa atau mereka yang merancang untuk berkeluarga, perbincangan awal dengan doktor mengenai RSV adalah penting, sebagaimana imunisasi untuk ibu hamil yang lain.

Ia adalah langkah untuk memberikan permulaan yang lebih kukuh kepada bayi sejak hari pertama kelahiran.

Mengapa Ibu Bapa Kita Juga Berisiko

RSV turut membawa beban kesihatan yang ketara kepada warga emas.

Di seluruh dunia, ratusan ribu warga emas dimasukkan ke hospital setiap tahun akibat jangkitan RSV.

Vaksin untuk melindungi orang dewasa berusia 60 tahun ke atas kini tersedia di beberapa negara, khususnya bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Bagi golongan dewasa yang memikul tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa warga emas serentak, peranan mereka amat penting.

Ramai ibu bapa mungkin memandang ringan gejala yang dialami atau enggan mendapatkan rawatan.

Anak-anak dewasa sering menjadi individu yang perlu menggalakkan lawatan ke klinik, bertanya mengenai pilihan vaksinasi dan memantau tanda-tanda bahaya.

Langkah Mudah yang Boleh Diambil oleh Keluarga

Selain vaksinasi, amalan harian juga memainkan peranan dalam mengurangkan risiko RSV.

Elakkan berinteraksi rapat dengan bayi jika mengalami simptom tidak sihat. Amalkan kebersihan tangan secara kerap. Tingkatkan pengudaraan di rumah dengan membuka tingkap apabila sesuai.

Gunakan pelitup muka jika mengalami gejala batuk, terutamanya apabila berada berhampiran bayi atau warga emas.

“Pencegahan RSV paling berkesan apabila seluruh keluarga mengamalkan langkah pencegahan bersama,” kata Dr Joyce Lee.

“Dengan melindungi seorang individu yang berisiko, kita membantu melindungi keseluruhan isi rumah.”

Memulakan Tahun 2026 dengan Perbincangan yang Bermakna

Walaupun RSV jarang dibincangkan, kesannya adalah nyata.

Kemasukan ke hospital bukan sahaja menjejaskan pesakit, malah memberi kesan emosi, fizikal dan kewangan kepada seluruh keluarga.

Sempena melangkah ke tahun 2026, kesedaran merupakan langkah pertama.

Berbincanglah dengan doktor anda. Dapatkan maklumat mengenai perlindungan RSV untuk bayi dan ibu bapa anda.

Jadikan pencegahanRSVsebahagian daripada senarai semak kesihatan keluarga bagi tahun baharu ini.

Melindungi setiap nafas, daripada nafas pertama seorang bayi hingga nafas seterusnya seorang ibu atau bapa, adalah satu azam yang benar-benar bermakna.