Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rupanya Ini Fungsi Garisan Di Cermin Belakang Kereta Kita

Hannah
garisan cermin belakang
Gambar: MotorBiscuit

Rupanya Ini Fungsi Garisan Di Cermin Belakang Kereta

Pernah tak anda tertanya-tanya, apa sebenarnya fungsi garisan-garisan halus yang melintang di cermin belakang kereta anda tu?

Nampak macam tak penting kan? Tapi sebenarnya, garisan tu memainkan peranan besar untuk keselamatan dan keselesaan anda semasa memandu.

Ia bukan sekadar ‘hiasan’, ia penting lebih-lebih lagi bila cuaca tak menentu seperti hujan lebat atau kabus tebal.

Jadi, apa sebenarnya fungsi garisan ini?

Garisan tersebut sebenarnya ialah elemen pemanas, dikenali sebagai grid pemanas atau grid nyahbeku (defroster).

Ia berfungsi untuk mencairkan ais, mengeringkan wap air serta menghilangkan kabus pada cermin belakang.

Dengan kata lain, ia membantu memastikan pandangan ke belakang anda sentiasa jelas. Ini khususnya pada waktu pagi yang sejuk atau semasa musim hujan dan musim sejuk di negara empat musim.

“Ia ibarat pemanas mini yang terbina dalam cermin kereta. Apabila butang pemanas belakang ditekan, arus elektrik mengalir melalui garisan tersebut dan memanaskan permukaan cermin, sama seperti pemanas tempat duduk atau pemanas dalam rumah,” jelas Tyler Rhodes, pengurus pendidikan di Universal Technical Institute, Arizona

Garisan-garisan ini bukan dicetak biasa, sebaliknya ia terdiri daripada wayar halus yang diperbuat daripada logam dan resin.

Ia telah digunakan secara meluas sejak dekad 1970-an, terutamanya pada model sedan dan wagon.

Ada juga sesetengah kenderaan yang turut mempunyai garisan ini pada cermin sisi belakang.

Kenapa hanya pada cermin belakang?

Jawapannya mudah, ia boleh mengganggu penglihatan pemandu. Oleh itu, bagi memastikan keselamatan dan reka bentuk ergonomik, pengeluar kereta tidak meletakkan grid ini pada cermin depan.

Sebaliknya, cermin hadapan menggunakan sistem nyahbeku yang berbeza, iaitu dengan mengaktifkan penghawa dingin (AC) untuk menyingkirkan kelembapan dalam udara.

Udara yang kering dan hangat kemudian ditiup ke arah cermin hadapan untuk menghilangkan kabus.

Namun bagi cermin belakang, terutamanya dalam kenderaan yang tidak mempunyai saluran penghawa dingin di bahagian belakang, grid pemanas ini menjadi penyelesaian yang praktikal dan cekap tenaga.

Ia juga tidak menambah beban berat pada kereta, menjadikannya sesuai dalam era penekanan terhadap kecekapan bahan api dan pengurangan pelepasan karbon.

BACA: Imej X-Ray Tunjuk Tubuh Pesakit Dipenuhi Ratusan Bintik Putih, Doktor Beri Amaran

BACA: 6 Kejadian Jerebu Dengan Rekod IPU Tertinggi Di Malaysia

BACA: Pilih Face Mask Yang Betul Ketika Musim Jerebu

Sumber: Reader’s Digest