Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KOTA BHARU, 29 Julai (Bernama) -- Disiplin mengulang hafazan al-Quran setiap hari selepas solat Subuh, menjadi kunci kejayaan seorang murid Orang Asli suku Semai muncul johan kategori lelaki pertandingan hafazan pada Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA), Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan.
Muhamad Nazirul Hakim Marzuky, 12, dari Batu 12, Gombak, Selangor berkata rutin itu, membolehkannya menghafaz 22 surah lazim dalam tempoh kira-kira dua bulan, sekali gus menghadiahkan kemenangan yang tidak disangkakan.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata minat membaca al-Quran mula berputik ketika di Tahun Dua hasil galakan ibunya Kamsiah Bah Aden, 45, seorang suri rumah, sebelum beliau mula memberi tumpuan kepada hafazan.
“Saya menghafaz setiap hari selepas solat Subuh hingga matahari terbit. Alhamdulillah, saya hanya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menghafaz 22 surah lazim termasuk al-Fil, al-’Alaq, at-Tin dan an-Nas.
“Kemenangan ini memberi semangat kepada saya untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran sekurang-kurangnya pada tahun depan,” katanya kepada pemberita di KAFOA Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini hari ini.
Anak kepada pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Marzuky Agus Azlan, 42, itu berkata beliau turut mempelajari taranum Giharkah, Kurdi dan Hijaz, bagi memperelok bacaan al-Quran.
Beliau berkata kejayaan itu juga hasil bimbingan dua gurunya Masiswandi Muhamad dan Nuruddin Suhaimi, yang sentiasa membimbing serta memberi dorongan untuk memperbaiki bacaan dan hafazan.
“Walaupun perlu membahagikan masa antara persekolahan dan hafazan, disiplin mengulang bacaan setiap pagi menjadi kunci kejayaan saya,” katanya yang turut bercita-cita menyarung jersi pemain sepak takraw negara.
Sementara itu, johan kategori perempuan Nur Dalia Eryna Abdul Halim, 12, dari Batu 7, Gombak, mengambil masa kira-kira setahun untuk menghafaz 23 surah lazim termasuk surah al-Fatihah.
Beliau berkata kaedah merakam bacaan sendiri sebelum mendengarnya semula selama kira-kira sejam hampir setiap malam banyak membantu mengukuhkan hafazan.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada anak-anak Orang Asli lain untuk terus mendalami al-Quran,” katanya yang turut menyasarkan menghafaz 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun serta bercita-cita menjadi ustazah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Omar Salleh berkata program tahunan selama tiga hari itu disertai lebih 100 murid Orang Asli dari sembilan negeri.
Beliau berkata KAFOA bukan sahaja mengetengahkan pertandingan tilawah, hafazan, nasyid dan azan, malah menyediakan slot kerohanian bagi memperkukuh akidah dan ibadah murid.
“Usaha ini selaras dengan matlamat melahirkan murid Orang Asli yang berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan, selain membuka peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh serta institusi pengajian tinggi termasuk di Timur Tengah,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan