Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sahih Atau Tak, Rupanya Macam Ini Pemeriksaan Dokumen Dilakukan Jabatan Kimia Malaysia

Iqbal Yasir
sahih pemeriksaan dokumen dilakukan
Gambar: AI

Sahih Atau Tak, Rupanya Macam Ini Pemeriksaan Dokumen Dilakukan Jabatan Kimia Malaysia

Pernah tak anda terfikir bagaimana dan siapa yang bertanggungjawab untuk mengesahkan sesuatu tulisan mesin, bahan pencetakan, analisis dakwat atau dokumen-dokumen rasmi kerajaan, sama ada sahih dan bukannya palsu?

Lebih-lebih lagi dalam kes-kes sivil mahupun jenayah. Menarik bukan?

Tahukah anda, sebenarnya pihak yang bertanggungjawab dalam peranan ini adalah Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia).

Tentu ramai yang mula tertanya-tanya bagaimana proses ini dilakukan. Sehubungan itu, SK kongsikan mengenai Pemeriksaan Dokumen ini di bawah.

Rupanya Ini Bagaimana Jabatan Kimia Malaysia Lakukan Pemeriksaan Dokumen

Untuk pengetahuan, proses ini dikenali sebagai Analisis Pemeriksaan Dokumen.

Ia dilakukan oleh Pegawai Sains terlatih di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia.

Setiap pegawai telah menjalani latihan serta kompeten di dalam analisis berkaitan bidang pemeriksaan dokumen dan telah diwartakan oleh kerajaan Malaysia sebagai Pemeriksa Dokumen.

Dekat Mana Analisis Pemeriksa Dokumen Ini Dilakukan?

Menurut JKM, analisis ini dijalankan di makmal pemeriksaan dokumen. Di Malaysia, hanya terdapat tiga makmal sahaja;

  • Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Selangor,

  • Jabatan Kimia Malaysia Negeri Pulau Pinang

  • Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sabah

Kaedah Yang Digunakan

Proses pemeriksaan dokumen menggunakan kaedah ujian saintifik yang telah diakreditasi dan diiktiraf oleh pihak antarabangsa iaitu ANSI National Accreditation Board (ANAB) di Amerika Syarikat.

Kaedah ini turut dibantu dengan bantuan peralatan saintifik moden dan terkini.

Oleh itu, setiap analisis yang dilaksanakan berdasarkan prosedur saintifik yang diiktiraf, menggunakan pendekatan objektif bagi memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan hasil kajian.

Hasil pemeriksaan ini seterusnya berperanan menyokong proses siasatan jenayah dan sivil dan prosiding perundangan negara.

Gambar: Jabatan Kimia Malaysia

Skop Perkhidmatan Yang Ditawarkan

Antara skop perkhidmatan yang ditawarkan antaranya;

  • Analisis tulisan tangan dan tandatangan

  • Pemeriksaan pengubahsuaian dokumen

  • Pemeriksaan tulisan mesin taip

  • Identifikasi proses percetakan

  • Analisis dakwat dan kertas

  • Pemeriksaan kesan tekapan

  • Pengesahan dokumen rasmi kerajaan

Nota: Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan dokumen kepada pihak swasta mahupun individu persendirian.

Kadar bayaran minimum yang dikenakan adalah sebanyak RM 1,100.00 bagi setiap kes dan ia bergantung kepada jumlah sampel atau dokumen yang dipertikaikan.

Gambar: Jabatan Kimia Malaysia

Berapa lama proses ini selesai?

Lazimnya, bagi kes pemeriksaan dokumen Jabatan Kimia Malaysia ini mengambil tempoh 30 hari atau sebulan.

Pun begitu, tempohnya juga bergantung kepada beberapa faktor seperti bilangan sampel yang dipertikaikan, jenis analisis yang perlu dilakukan bagi kes tersebut dan tahap kompleksiti kes yang diterima.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses pemeriksaan dokumen ini boleh layari laman web rasmi Jabatan Kimia Malaysia atau klik di sini.