Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Saintis Australia Temui Spesies Baharu Jerung Berjalan
Saintis Australia berjaya menemui spesies baharu jerung berjalan ketika menjalankan tinjauan pada waktu malam di perairan Papua New Guinea (PNG), sekali gus menambah senarai spesies unik yang menghuni kawasan terumbu karang tropika, lapor portal Sunshine Coast News.
Spesies tersebut dinamakan Dudgeon’s Walking Shark, sempena penyelidik Universiti Sunshine Coast (UniSC), Dr. Christine Dudgeon, yang berjaya menangkap seekor daripadanya sebelum membawanya ke bot kajian untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Dr. Dudgeon, penemuan spesies jerung baharu merupakan sesuatu yang jarang berlaku dalam dunia sains.
"Spesies jerung baharu bukanlah sesuatu yang ditemui setiap hari dan ini juga kali pertama spesies dinamakan sempena nama saya," katanya.
Jerung yang diberi nama saintifik Hemiscyllium dudgeonae itu ditemui di kawasan yang sangat terhad di pesisir tenggara Papua New Guinea.
Penemuan tersebut disahkan menerusi kajian bersama yang diterbitkan dalam Journal of the Ocean Science Foundation.
Pasukan penyelidik yang diketuai UniSC menjalankan kajian di Teluk Milne serta kawasan perairan cetek berhampiran bagi menilai populasi jerung epaulette yang kini berdepan ancaman kepupusan.
Jerung berkenaan terkenal kerana keupayaannya menggunakan keempat-empat sirip seperti kaki untuk bergerak merentasi dasar terumbu ketika air surut.
Spesies itu juga tidak berbahaya kepada manusia dan kebanyakannya memakan haiwan invertebrata di dasar laut.

Penulis utama kajian, Jess Blakeway dalam portal Sunshine Coast News, berkata beliau menyedari terdapat kelainan pada corak warna spesimen yang ditemui sebaik sahaja melihatnya di bawah cahaya bot.
"Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah garisan putih pendek pada tubuhnya yang berwarna coklat. Corak itu sangat berbeza daripada tompokan seperti harimau bintang yang kami jangkakan," katanya.
Pasukan penyelidik kemudian menempatkan spesimen tersebut di dalam bekas berisi air laut untuk tujuan pengukuran serta pengambilan sampel darah dan tisu.
Dalam tempoh dua malam berikutnya, mereka menemui 11 lagi jerung yang mempunyai corak sama.
Bagaimanapun, hanya selepas analisis genetik dijalankan di Australia, barulah mereka dapat mengesahkan bahawa spesimen itu merupakan spesies yang belum pernah direkodkan sebelum ini.
Menurut Blakeway, penemuan tersebut amat signifikan kerana ia merupakan spesies baharu pertama dalam genus berkenaan yang dikenal pasti sejak tahun 2013.

Spesies itu turut dikenali oleh penduduk tempatan sebagai kadedekedewa, yang secara longgar membawa maksud "jerung anjing" atau "jerung malas" kerana pergerakannya yang perlahan menggunakan empat sirip, menurut portal Sunshine Coast News.
Walaupun penemuan itu dianggap menggembirakan, para saintis turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup spesies tersebut.
Ini kerana habitatnya yang sangat terhad menjadikannya lebih terdedah kepada ancaman seperti kemerosotan habitat, aktiviti penangkapan ikan serta perubahan iklim.
Blakeway berkata pasukan penyelidik berharap dapat mengumpulkan lebih banyak data semasa ekspedisi seterusnya pada Oktober bagi membantu Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menilai status konservasi spesies itu.
Kajian berkenaan turut mendedahkan maklumat baharu mengenai taburan geografi dua lagi spesies jerung epaulette di sekitar Pulau New Guinea.
Sepanjang penyelidikan, saintis menggunakan pelbagai kaedah termasuk menyelam, snorkeling dan berjalan di kawasan terumbu untuk menangkap jerung berjalan secara manual.
Sebanyak 70 tinjauan telah dijalankan di 35 lokasi berbeza merangkumi 15 kawasan kajian.
