Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Saintis Berjaya Cipta Embrio Manusia Sintetik Pertama 

Syed Faisal Sayed Muhammad
embrio sintetik pertama
Kredit Bailey Weatherbee/Carlos Gantner/Zernicka-Goetz Lab

Saintis Berjaya Cipta Embrio Manusia Sintetik Pertama

Satu pasukan penyelidik di Amerika Syarikat dan United Kingdom dilaporkan telah berjaya mencipta struktur seperti embrio manusia sintetik pertama di dunia daripada sel stem dan sperma.

Memetik CNN, struktur seperti embrio ini berada pada peringkat awal perkembangan manusia. Sebagai contoh, struktur ini tidak mempunyai jantung yang berdegup atau otak.

Para saintis percaya suatu hari nanti ia boleh membantu memajukan pemahaman tentang penyakit genetik atau punca keguguran.

Penyelidikan itu telah menimbulkan persoalan undang-undang dan etika yang kritikal. Namun, banyak negara termasuk AS tidak mempunyai undang-undang yang mengawal penciptaan atau rawatan embrio sintetik ini.

Penemuan dalam bidang ini dengan kecanggihan model yang semakin meningkat telah membimbangkan pakar bioetika. Terutamanya selepas ia dilihat semakin hampir dengan nilai etika kehidupan.

“Tidak seperti embrio manusia yang timbul hasil daripada persenyawaan in vitro (IVF), di mana terdapat rangka kerja undang-undang yang ditetapkan. Pada masa ini tiada peraturan jelas berkenaan mengawal model embrio manusia yang diperoleh daripada sel stem.

“Terdapat keperluan mendesak untuk peraturan dalam menyediakan rangka kerja bagi penciptaan dan penggunaan model yang diperolehi sel stem bagi embrio manusia,” kata James Briscoe, pengarah penyelidikan bersekutu di Francis Crick Institute.

Sementara itu, Dr Magdalena Zernicka-Goetz mendedahkan penemuan kerja itu dalam pembentangan hari Rabu lalu kepada mesyuarat tahunan di International Society for Stem Cell Research di Boston.

Zernicka-Goetz, seorang profesor biologi dan kejuruteraan biologi di CalTech dan Universiti Cambridge berkata bahawa penyelidikan itu telah diterima di jurnal saintifik.

Sebelum ini, Zernicka-Goetz dan pasukannya bersama-sama pasukan saingannya di Israel pernah menerangkan berkenaan penciptaan struktur model embrio. Penerangan itu melibatkan penciptaan model embrio daripada sel stem tikus.

Struktur seperti embrio yang dikatakan oleh Zernicka-Goets di makmalnya telah dihasilkan daripada sel stem embrio manusia tunggal. Ia kemudian berkembang menjadi tiga lapisan tisu yang berbeza.

Ia termasuk sel-sel yang biasanya akan terus membentuk kantung kuning telur, plasenta dan embrio itu sendiri.

“Saya hanya ingin menekankan bahawa mereka bukan embrio manusia,” kata Zernicka-Goetz.

“Ia adalah model embrio, tetapi ia sangat menarik kerana ia mirip dengan embrio manusia. Ia juga sangat penting ke arah penemuan mengapa begitu banyak kehamilan yang gagal. Majoriti kehamilan gagal sekitar masa perkembangan di mana kita membina struktur seperti embrio ini,” tambahnya lagi.

BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu

Katanya lagi, penemuan ini adalah kali pertama bagi embrio model manusia dicipta dengan tiga lapisan tisu. Namun walaupun ia meniru beberapa ciri embrio semula jadi, ia masih tidak mempunyai sifat kesemuanya.

Zernicka-Goetz berkata lagi, tujuan penyelidikannya bukan untuk mencipta kehidupan tetapi untuk mengetahui cara menghalang kehilangan semasa awal kehamilan.

Sumber: CNN