Salji Turun Di Papua Tengah Berlarutan Hingga Ogos
Kejadian salji yang berlaku di kawasan perlombongan PT Freeport Indonesia daerah Mimika, Papua Tengah akan berlarutan sehingga Ogos, menurut Balai Besar Meteorologi, Iklim dan Geofizik (BMKG).
Lapor Detik.com, Sub Koordinator BMKG, Ezri Ronsumbre mengatakan salji yang turun di daerah tersebut pada Isnin, 24 Julai lalu adalah disebabkan musim hujan yang telah tiba.
“Salji yang terjadi di daerah ini merupakan dampak musim hujan yang sedang terjadi di wilayah tersebut dan dikatakan akan berlarutan sehingga Ogos,” katanya.
Menurut Ezri, salji ini berlaku akibat pengaruh awan Nimbostratus dan menyifatkan ia sebagai awan Kumulonimbus.
“Awan nimbostratus adalah sejenis awan rendah yang agak tebal, di mana bentuknya bentuk lebar seperti kabus tebal dan berwarna kelabu,” ujarnya.
Tambah Ezri, hujan daripada awan jenis ini mempunyai tempoh yang panjang dengan intensiti yang tidak terlalu lebat.
Ia berbeza dengan awan jenis Kumulonimbus yang boleh menyebabkan hujan lebat dan ais.
“Bagaimanapun, hujan yang berpunca daripada awan ini biasanya berlaku dalam tempoh yang lama dengan intensiti yang tidak terlalu lebat,” tambahnya.
BACA: Viral Penampakan ‘UFO’ Di Pasuruan, Indonesia
Kedudukan Mimika mengikut peta
Selain itu, faktor lokasi geografi di Mimika yang berada pada ketinggian 2,500 meter dari aras laut turut menyebabkan fenomena turunnya salji.
Oleh itu, Ezri berkata kawasan di daerah tersebut menjadi sejuk kerana ketinggiannya dengan aras laut.
“Sebab semakin tinggi sesuatu tempat, suhu udara juga akan berkurangan serta tekanan atmosfera.
“Sebab itu kawasan Mimika boleh membentuk salji dan hujan batu,” jelasnya.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan kawasan di Mimika mengalami penurunan salji.
Video tersebut dirakam oleh seorang pekerja PT Freeport Indonesia dan rakannya, di mana mereka menikmati suasana salji itu.
Hujan dikatakan agak lebat di kawasan itu.
“Salji turun, bukan perkara biasa. Ini kelebihannya di Grasberg,” kata lelaki itu.
Memetik CNN, pada bulan-bulan tertentu seperti April, jalan menuju ke Grasberg biasanya dilitupi salji dan perkara itu difahamkan bukan pertama kali berlaku.
Fenomena itu berlaku hampir setiap tahun di perlombongan PT Freeport Indonesia.
