Sam Altman Keluarkan Amaran "Code Red"
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman, dilaporkan mengeluarkan amaran "code red" susulan cabaran mencapai keuntungan dan persaingan sengit dalam industri kecerdasan buatan (AI).
Beliau mendedahkan rancangan syarikat itu untuk memperlahankan pengambilan pekerja serta mencari model perniagaan yang lebih mampan.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sesi pertemuan maya (town hall) baru-baru ini, di mana Altman menjelaskan bahawa OpenAI mahu berkembang dengan lebih berhati-hati dan efisien.
Menurutnya, syarikat tidak mahu mengambil pekerja secara agresif sebelum menyedari bahawa AI mampu melakukan banyak tugas yang sebelum ini dilakukan oleh manusia.
"Kami merancang untuk memperlahankan kadar pertumbuhan kakitangan kerana kami percaya boleh melakukan lebih banyak perkara dengan bilangan pekerja yang lebih kecil," kata Altman.
Beliau turut menegaskan bahawa pengambilan pekerja yang terlalu agresif boleh membawa kepada situasi tidak selesa. Ini termasuk keperluan mengurangkan tenaga kerja apabila AI menggantikan banyak peranan manusia.
Pertumbuhan ChatGPT perlahan, iklan jadi 'langkah terakhir'
Pengumuman ini hadir ketika OpenAI berdepan kesukaran mencapai keuntungan, dengan pertumbuhan pelanggan ChatGPT dilaporkan semakin perlahan.
Untuk menampung jurang pendapatan, syarikat itu mula memperkenalkan iklan, walaupun Altman sebelum ini menyifatkan iklan sebagai 'langkah terakhir' dalam model perniagaan OpenAI.
Difahamkan, amaran "code red" pula dikeluarkan ketika Google dilihat berpotensi mengatasi OpenAI sebagai peneraju industri AI global.
AI bangun AI, risiko data dan halusinasi
Altman turut menyatakan hasrat untuk menggunakan AI bagi membangunkan sistem AI baharu. Namun, pendekatan ini menimbulkan cabaran tersendiri.
Satu kajian menunjukkan bahawa sehingga 75 peratus data latihan model AI tahun ini mungkin dihasilkan oleh AI sendiri, di mana hal ini dilihat berisiko menjejaskan kualiti dan ketepatan sistem.
Selain itu, AI masih menghadapi masalah halusinasi, iaitu menghasilkan maklumat yang kelihatan meyakinkan tetapi tidak tepat, terutamanya dalam situasi berisiko tinggi.
Risiko sosial & alam sekitar
Altman mengakui bahawa AI berpotensi menggantikan tenaga kerja manusia, sekali gus memberi kesan besar kepada ekonomi dan masyarakat.
Namun di sisi lain, penggunaan AI memerlukan tenaga elektrik yang sangat tinggi, yang sering bergantung kepada sumber seperti arang batu dan gas. Keadaan ini kemudiannya menyumbang kepada pencemaran dan perubahan iklim.
Bahkan, beberapa syarikat teknologi besar seperti Google, Meta dan Microsoft telah melabur dalam tenaga nuklear bagi mengurangkan kesan alam sekitar.
Altman kekal optimis
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Altman kekal optimis mengenai masa depan OpenAI dan AI secara keseluruhan.
Beliau memberi amaran bahawa syarikat yang gagal menggunakan AI secara berkesan berisiko tewas kepada syarikat yang beroperasi hampir sepenuhnya dengan AI.
"Jika syarikat tidak belajar menggunakan alat AI dengan betul, mereka akan dikalahkan oleh syarikat AI sepenuhnya. Ini boleh menjadi sesuatu yang sangat menggugat kestabilan masyarakat," katanya.