Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sambil Tunggu Giliran, Staf Klinik Kesihatan Ulu Tiram Ajak Pengunjung Bersenam
Umum ketahui, hospital awam sentiasa menerima kehadiran pesakit yang tinggi setiap hari.
Justeru, tempoh menunggu yang lama bukanlah sesuatu yang asing.
Dalam situasi ini, ramai pesakit biasanya mengisi masa menunggu dengan melayari media sosial atau menatal telefon sebagai cara untuk menghilangkan rasa bosan.
Namun begitu, bagi warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar, keadaan ini agak menyedihkan kerana mereka hanya duduk termenung dan kelihatan lebih sunyi sambil menunggu giliran.
Sekiranya pihak hospital dapat menyediakan sebarang aktiviti atau inisiatif ringan bagi mengisi masa menunggu, ia pasti tidak akan membosankan.
Baru-baru ini, tular sebuah hantaran di media sosial memaparkan seorang petugas di Klinik Kesihatan Ulu Tiram menceriakan suasana dengan mengajak pesakit melakukan senaman ringan secara duduk.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @quehanis.cooking.sewing di Threads, wanita tersebut membawa ibunya untuk mengambil darah di klinik berkenaan.
Sebelum itu, dia berkongsi yang ibunya kelihatan agak letih kerana berpuasa, namun kembali segar selepas diajak menyertai senaman ringan.
Apa yang lebih menarik perhatian ramai ialah pesakit warga emas dilihat bersemangat mengikut senaman tersebut.

Dalam pada itu, netizen menyifatkan pendekatan petugas klinik tersebut sebagai sesuatu yang mencuit hati dan mampu mengurangkan kebergantungan warga emas terhadap penggunaan media sosial secara berlebihan ketika menunggu giliran.
"Betul sangat, mak saya terus tinggalkan TikTok sebab nak bersenam," balas @quehanis.cooking.sewing
Seorang doktor turut tampil memberikan pandangan profesional dengan menyatakan rasa bangga terhadap usaha petugas klinik tersebut.
Menurutnya, inisiatif seperti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah mempunyai kepentingan dari sudut perubatan.
"Sebagai seorang doktor, baca ni rasa bangga. Petugas KK yang buat usaha macam ni jarang dapat spotlight," kata doktor tersebut.
Jelasnya, senaman ringan sebelum prosedur pengambilan darah, khususnya ketika berpuasa dapat mencegah keadaan seperti pengsan secara tiba-tiba.
"Dia bukan setakat ceriakan, dia tahu betul apa dia buat," tambah beliau lagi.
Doktor tersebut turut memuji petugas berkenaan kerana memahami dengan baik apa yang dilakukannya.
