Sampah Sarap Sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu Di Jakarta Seberat 74 Tan
Agensi Alam Sekitar Jakarta (DLH) menyatakan bahawa sebanyak 74 tan sampah telah berjaya dikumpulkan daripada sambutan Tahun Baharu 2023 di beberapa lokasi sesak sekitar bandar Jakarta, lapor CNN Indonesia.
Menurut Ketua DLH DKI Jakarta, Asep Kuswanto berkata, kutipan sampah pada sambutan Tahun Baharu 2023 adalah kurang berbanding sebelum pandemik Covid-19 yang mencecah 125 tan.
“Ini mungkin disebabkan sambutan pertama selepas pandemik, jadi tidak sesibuk biasa dan agak teratur,” kata Asep menerusi kenyataannya pada Ahad lalu.
Jelasnya, Pegawai Penyedia Perkhidmatan Lain (PJLP) atau dikenali sebagai pasukan jingga telah menguruskan sampah-sampah tersebut sejurus perayaan sambutan Tahun Baharu berakhir dan telah selesai sekitar jam 5.00 WIB.
Secara keseluruhan, Asep berkata bahawa pihaknya telah mengerahkan seramai 3,180 pekerja pembersihan untuk mengendalikan sampah-sampah selepas sambutan Tahun Baharu di semua lokasi perhimpunan sambutan yang berada di lima lokasi bandar pentadbiran.
“Semua pekerja dan pasukan Perkhidmatan Alam Sekitar telah digerakkan untuk mengendalikan proses permbersihan di kawasan sambutan Tahun Baharu pada jam 00.30 WIB.
“Alhamdulillah kami selesai membersihkan Jakarta pada jam 05.00 WIB tadi. Menepati sasaran kami,” kata Asep lagi.
Pemerintah Provinsi DKI Jakarta sebelum ini mengumumkan lokasi bagi sambutan Tahun Baharu tersebut. Beberapa lokasi yang ditetapkan iaitu Jakarta Pusat terletak di Thamrin 10, Jakarta Utara dan Jakarta Barat. Lokasi tersebut masing-masing bertempat di pejabat Datuk Bandar.
Dua lagi di lokasi bertempat di Jakarta Selatan di Setu dan Kepulauan Seribu di Pulau Untung Jawa. Acara kemuncak sambutan pula telah diadakan di TMII.
Sumber: CNN Indonesia
