Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

SARA RM100: Cara Guna MyKad Beli Barang & Semak Baki

suhaila
SARA RM100: Cara Guna MyKad Beli Barang dan Semak Baki
Gambar AI

SARA RM100: Cara Guna MyKad Untuk Beli Barang dan Semak Baki

Sejak pengumuman kerajaan mengenai Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100, ramai penerima yang masih keliru dengan cara penggunaannya khususnya apabila dikaitkan dengan fungsi MyKad.

Ada yang menyangka bantuan ini dimasukkan terus ke dalam MyKad seperti e-dompet atau Touch ‘n Go sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Penting untuk difahami bahawa MyKad tidak berfungsi sebagai penyimpan wang sebaliknya ia digunakan semata-mata untuk tujuan pengesahan maklumat penerima.

Dengan kata lain, MyKad hanyalah medium untuk verifikasi bagi memastikan seseorang itu benar-benar layak menerima SARA dan bukannya tempat duit bantuan tersebut disimpan.

MyKad dan fungsi sebenar dalam bantuan SARA RM100

Salah tanggapan yang sering timbul adalah mengenai peranan fungsi Touch ‘n Go dalam MyKad. Ramai percaya ia digunakan untuk menyalurkan bantuan sedangkan fungsi tersebut langsung tidak terlibat.

Bantuan SARA tidak pernah dimasukkan ke dalam MyKad sebaliknya MyKad digunakan oleh juruwang di kedai yang terlibat untuk mengimbas maklumat penerima.

Setelah pengesahan dibuat, barulah pembelian barangan asas bernilai sehingga RM100 boleh diluluskan.

Oleh itu, jika anda mendengar ada pihak yang mendakwa mereka boleh keluarkan duit dalam MyKad, berhati-hatilah kerana itu adalah helah penipuan.

Segala maklumat sahih hanya boleh diperoleh melalui laman web rasmi Kementerian Kewangan atau agensi yang diiktiraf kerajaan.

Cara Membeli Barangan Menggunakan MyKad SARA

Proses menggunakan bantuan SARA RM100 ini sebenarnya mudah sahaja. Asalkan anda tahu langkah yang betul. Berikut adalah cara yang perlu diikuti ketika membeli-belah di premis yang mengambil bahagian:

1. Pilih barangan keperluan asas

Semasa membeli-belah, pastikan anda hanya memilih barangan yang tersenarai dalam kategori SARA.

Kebanyakan kedai akan meletakkan tanda khas seperti label “MyKad SARA” atau “Sumbangan Asas Rahmah” pada rak barangan supaya mudah dikenalpasti.

Barangan asas ini termasuk beras, minyak masak, telur, tepung, gula, susu, makanan dalam tin, sayuran segar dan beberapa keperluan rumah tangga lain.

2. Bawa ke kaunter pembayaran

Setelah selesai memilih, bawa barangan tersebut ke kaunter pembayaran seperti biasa. Pastikan jumlah barangan tidak melebihi baki SARA yang ada.

3. Serahkan MyKad anda

Di kaunter, serahkan MyKad kepada juruwang untuk diimbas. Imbasan ini berfungsi untuk mengesahkan status anda sebagai penerima bantuan SARA.

4. Tetapkan PIN enam digit

Bagi penerima yang pertama kali menggunakan kemudahan ini, anda akan diminta untuk menetapkan nombor PIN enam digit baharu.

PIN ini berfungsi sebagai pengesahan setiap kali anda membuat transaksi menggunakan MyKad bagi pembelian barangan SARA.

5. Sahkan transaksi

Juruwang akan mengimbas barangan yang dibeli. Anda hanya perlu memasukkan nombor PIN enam digit untuk mengesahkan transaksi. Jumlah pembelian akan ditolak secara automatik daripada baki SARA anda.

6. Simpan resit pembelian

Setelah selesai, anda akan menerima resit sebagai bukti transaksi. Resit ini juga memaparkan jumlah baki bantuan yang masih tinggal, jadi simpanlah ia sebagai rujukan untuk pembelian seterusnya.

Kredit : JPN

Kaedah Semakan Baki SARA RM100

Mulai 21 Ogos 2025, penerima boleh memeriksa baki bantuan SARA RM100 mereka dengan tiga cara utama:

1. Portal rasmi SARA

Layari laman web rasmi sara.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai baki kredit serta transaksi yang telah dibuat.

2. Aplikasi MyKasih

Selain itu, anda juga boleh memuat turun aplikasi MyKasih di telefon pintar anda untuk menyemak baki secara lebih pantas dan mudah di samping melihat senarai transaksi pembelian yang telah dilakukan.

3. Resit pembelian di kaunter

Setiap kali anda membuat pembelian menggunakan MyKad di pasar raya atau kedai terlibat, resit yang dikeluarkan akan memaparkan baki SARA semasa.

Biasanya, resit tersebut mengandungi logo rasmi kerajaan, jumlah pembelian, baki sebelum dan selepas transaksi serta butiran premis di mana pembelian dibuat.

BACA : Baju Masih Lembap Lepas Guna “Washer Dryer”? Ini Sebabnya

Jika belanja melebihi baki SARA

Penerima perlu maklum bahawa bantuan SARA hanya sah digunakan untuk barangan asas yang termasuk dalam 14 kategori produk yang diluluskan sahaja.

Sekiranya jumlah belian anda melebihi baki yang ada dalam MyKad, lebihan tersebut perlu dibayar menggunakan wang sendiri sama ada melalui tunai, kad debit/kredit atau e-wallet.

Baki tidak habis – Adakah ia hilang?

Berita baik untuk penerima, baki SARA yang tidak digunakan pada bulan semasa tidak akan hangus. Ia secara automatik akan dibawa ke bulan berikutnya.

Namun, anda dinasihatkan supaya menggunakan sepenuhnya baki yang ada sebelum tarikh akhir program iaitu 31 Disember 2025.

Selepas tarikh tersebut, sebarang baki yang tidak digunakan akan dipindahkan untuk tujuan program perlindungan sosial lain yang dilaksanakan pada tahun berikutnya.

Secara ringkasnya, duit bantuan SARA RM100 tidak pernah dimasukkan ke dalam MyKad seperti yang disangka ramai.

MyKad hanya berperanan sebagai alat verifikasi bagi memastikan penerima yang layak dapat menikmati kemudahan ini.

Proses pembelian pula amat mudah iaitu dengan hanya memilih barangan asas di kedai berdaftar, serahkan MyKad untuk pengesahan, masukkan PIN dan transaksi pun selesai.

Dengan kefahaman yang betul, penerima tidak lagi keliru atau mudah terpedaya dengan maklumat palsu.

Apa yang penting, gunakan sepenuhnya bantuan ini untuk membeli barangan asas yang benar-benar diperlukan keluarga agar manfaatnya lebih terasa dalam kehidupan seharian.

BACA : Servis Ihsan Madani Perodua: Diskaun Servis dan Baucar RM20