Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sarimah Ibrahim Teruja ‘Konspirasi’ Kembali Menemui Penonton

KONSPIRASI
Barisan pelakon filem Konspirasi. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim teruja sekiranya filem Konspirasi kembali ditayangkan kepada penonton selepas karya berkenaan mendapat sambutan daripada peminat sebelum ini.

Memegang watak Datuk Suraya, seorang ahli politik wanita berpengaruh, Sarimah berkata karakter berkenaan memperlihatkan sisi dunia politik yang penuh dengan permainan kuasa, dilema dan cabaran dalam usaha menegakkan kebenaran.

Che Puan Sarimah Ibrahim ketika ditemui Siakap Keli malam ini. Gambar: Haziq Hakimi/ SK

Katanya, Datuk Suraya bukan sekadar digambarkan sebagai watak baik atau buruk, sebaliknya mempunyai emosi serta konflik tersendiri yang menjadikan karakter berkenaan lebih berlapis.

“Karakter saya dalam cerita ini sebagai Datuk Suraya. Dia seorang ahli politik yang cuba menegakkan kebenaran.

“Panjang ceritanya, tetapi disebabkan ini adalah edisi khas, saya sendiri tidak berapa pasti kerana saya pun teruja sekarang untuk mengetahui sama ada jalan ceritanya sudah digubah,” katanya kepada Siakap Keli pada Majlis Filem Konspirasi Bersama Media di sini, malam ini.

Menurut Sarimah, Konspirasi sebelum ini mengetengahkan isu bagaimana seseorang berdepan dan melawan amalan korupsi bukan sahaja dalam negara, malah dalam diri, minda serta kehidupan seharian.

Jelasnya, mesej utama karya berkenaan turut berkait rapat dengan perjuangan manusia untuk menolak jalan singkat demi mencapai kejayaan dan memilih jalan yang benar.

“Bagi saya, itulah satu ‘battle’ yang memang semua orang lalui, iaitu bagaimana kita melawan korupsi dalam diri dan tidak memilih jalan singkat untuk berjaya kononnya, sebaliknya memilih jalan yang betul,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sarimah berkata sekiranya Konspirasi benar-benar ditayangkan semula, ia menjadi satu kepuasan buat barisan pelakon yang sudah memberikan sepenuh usaha dalam menghasilkan karya berkenaan.

Katanya, sesebuah karya akhirnya dihasilkan untuk ditonton dan dihargai oleh penonton, justeru peluang untuk Konspirasi kembali ditayangkan pastinya menggembirakan barisan pelakon serta seluruh produksi.

“Kita sudah bekerja keras dan menghasilkan satu karya. Sebagai pelakon, kita berlakon untuk penonton. Kalau tiada penonton, kita berlakon untuk siapa?

“Insya-Allah, kalau ditayangkan semula, rasa puaslah kita apabila penonton dapat melihat hasil kerja kita,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu, Sarimah berkata beliau baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Sampai Bila-Bila yang menampilkan genre psychological thriller.

Menurutnya, drama lapan episod itu turut dibintangi Datuk Remy Ishak, Wan Raja dan Sara Ali serta dijadualkan menemui penonton pada Januari depan.

“Saya baru keluar dari set drama Sampai Bila-Bila. Saya berlakon bersama Datuk Remy Ishak, Wan Raja dan Sara Ali.

“Kami berlakon dalam drama psychological thriller, iaitu siri televisyen lapan episod yang akan keluar pada Januari. Baru sahaja habis penggambaran dan kepala serta badan saya masih lagi di set sekarang,” katanya.

Intipati
  • Sarimah Ibrahim teruja sekiranya filem Konspirasi kembali ditayangkan kepada penonton.
  • Beliau memegang watak Datuk Suraya, ahli politik wanita yang berdepan konflik kuasa.
  • Sarimah baru selesai penggambaran drama Sampai Bila-Bila, dijadualkan menemui penonton Januari depan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan