Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Satu-Satunya Dari Malaysia, Pelajar KV Keningau Finalis Global Student Prize 2025
Seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya tersenarai sebagai salah seorang 50 finalis Global Student Prize 2025.
Siti Nur Hanisah Omar Hashim, 20, yang merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di KV itu berpeluang untuk mendapat hadiah berjumlah USD 100,000 (RM423,549) jika memenangi anugerah itu.
Anugerah tajaan Varkey Foundation yang berpusat di United Kingdom ini dianggap sebagai anugerah pelajar paling berprestij di dunia.
Seramai 11,000 pencalonan diterima pada tahun ini dan Hanisah merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri sebagai finalis anugerah ini.
Menurut Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr Sirhajwan Idek, Hanisah terpilih sebagai finalis kerana pencapaian, sumbangan dan impaknya kepada para pelajar yang lain dan dalam komuniti pendidikan.
“Dia merupakan pengasas perusahaan sosial yang dikenali sebagai Mearpet di mana ia mengitar semula pakaian dan patung terpakai. Ia akan dijadikan boneka yang digunakan untuk mendidik dan menghibur kanak-kanak.
“Projek ini telah banyak memenangi anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuklah memenangi wang ringgit berjumlah RM3000 menerusi pertandingan Pitchbah anjuran kelab belia OOZE pada tahun 2023.
“Dia juga mendapat geran YouthMADE Festival Amplify Grant dari Digital Promise yang berpusat di Amerika Syarikat pada tahun 2025,” katanya.

“Para pelajar ini telah memenangi beberapa pertandingan seperti Social Project Challenge anjuran myHarapan dan Yayasan Telekom Malaysia,” kata Sirhajwan.
Hanisah juga turut mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik. Untuk pengetahuan, dia setiap tahun menerima anugerah pelajar terbaik dan merupakan bekas naib presiden majlis persatuan pelajar di kolej itu.
Lebih menarik, Hanisah telah merintis projek kelas tutorial Malaysian University English Test (MUET) bagi pelajar KV yang ingin meneruskan pengajian di institut pendidikan tinggi dan projek pengantarabangsaan Virtual, Remote, Live (VRL).
Sementara itu, pengarah KV tersebut, Lumang anak Lang menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Hanisah.
Menurutnya, kejayaan pelajar itu menjadi bukti bahawa KV mampu dan gigih melahirkan pelajar yang cekap, berkebolehan, bercita-cita tinggi dan berbakti kepada masyarakat.
Keputusan anugerah itu mungkin akan diumumkan pada bulan September depan.
Sumber: Dr Sirhajwan Idek