“Saya Hampir Berputus Asa Dalam Bidang FnB…” Ayah Cuba Ubah Hidup Keluarga Dengan Air Coklat RM3
Siapa sangka, dari ingin menjalankan perniagaan secara ‘santai’, kini menjadi perniagaan yang semakin dicari oleh orang ramai.
Dengan idea kreatif, kecekalan serta sokongan pelanggan setia, perniagaan kecil ini membuktikan bahawa minat dan usaha yang konsisten mampu membawa kejayaan luar jangkaan.
Itulah kisah seorang peniaga air sepenuh masa, Aznee Syukree Bin Mohamed Tazilan, atau lebih dikenali sebagai Bro Z yang terkenal dengan jualan air coklat, kopi dan teh tarik pada harga serendah RM3.
Menariknya, beliau menjadikan perniagaannya bukan sekadar sumber pendapatan, malah sebagai cara untuk pelanggan merasai minuman premium pada harga mampu milik, khususnya ketika ekonomi semakin mencabar.
Dalam segmen “Ini Kisah Aku” kali ini, Siakap Keli mengetengahkan kisah inspirasi seorang anak jati Perak yang berjuang membina jenama minumannya sendiri, ‘Beego’ di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Pengalaman mengajar Bro Z untuk capai kejayaan
Sebelum ini, Bro Z pernah menyandang jawatan sebagai Eksekutif Projek di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Namun, selepas beberapa tahun bekerja dalam suasana korporat, beliau mula merasakan keinginan untuk mencuba sesuatu yang lebih dekat dengan minat dan jiwanya sendiri.
Bukan tidak pernah kecundang, namun pengalaman sejak mula bertapak dalam perniagaan banyak mengajar beliau untuk kembali bangkit.
Bro Z memaklumkan bahawa sebelum ini pernah berniaga air balang dan pengalaman itulah yang menjadi titik tolak kepada langkah baharunya dalam dunia keusahawanan.
Dengan berbekalkan ilmu serta pengalaman terdahulu, beliau mula membina perniagaan yang lebih tersusun dan seiring dengan rentak ekonomi semasa agar mampu bertahan serta terus relevan dalam pasaran yang mencabar.
“Selepas PKP, majoriti peniaga dan pembeli agak terkesan. Jadi, saya cuba hasilkan minuman yang bertaraf kafe tetapi dijual pada harga yang berpatutan
“Ketika saya berniaga air balang dahulu, isu utama yang saya hadapi ialah kualiti air. Apabila air dicampur terus dengan ais, ia hanya mampu bertahan sekitar setengah hingga satu jam sahaja
“Pelanggan yang datang awal akan dapat menikmati rasa yang padu, manakala yang datang kemudian pula mendapati airnya sudah cair dan tidak lagi sama seperti sebelumnya
“Jadi, apabila mereka datang semula, pengalaman rasa itu tidak konsisten,” jelasnya kepada SK.
Kredit: Siakap KeliDaripada pengalaman itu, beliau mula mengubah konsep perniagaan. Kali ini, pelanggan akan membuat pesanan terlebih dahulu sebelum air disediakan, sama seperti di restoran.
Apabila ditanya sama ada jualan air pada harga serendah RM3 pernah dipertikaikan oleh sesetengah pihak, Bro Z tidak menafikannya.
Namun, beliau menjelaskan bahawa setiap harga yang ditetapkan mempunyai strategi dan nilai tersendiri bagi memastikan pelanggan tetap dapat menikmati minuman berkualiti tanpa perlu berbelanja besar.
“Selama lima bulan saya menjalankan perniagaan jenama ‘Beego’, ramai yang tertanya-tanya mengapa saya menjual pada harga yang begitu murah, malah ada yang bertanya mengenai keuntungan dan berminat untuk menjadi rakan niaga
“Kalau tak untung, saya dah lama berhenti berniaga. Saya memang bergantung sepenuhnya pada perniagaan ini kerana 100% sumber rezeki saya datang dari sini,” ujar beliau lagi.
Kredit: Siakap KeliDari kanak-kanak hingga dewasa, semua gemari air coklat
Sebelum menemui kejayaan melalui jenama Beego, beliau pernah mencuba pelbagai jenis perniagaan lain, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Sebelum memulakan perniagaan minuman coklat dan membina jenamanya sendiri, beliau terlebih dahulu melakukan kajian pasaran bagi memahami cita rasa pengguna.
Hasil pemerhatian itu membuatkan Bro Z beranggapan bahawa minuman coklat lebih digemari ramai berbanding teh atau kopi, sekali gus membuka peluang untuknya memperkenalkan jenamanya.
“Oleh itu, saya menjual tiga jenis minuman iaitu teh, kopi dan coklat,” ujar Bro Z sambil menjelaskan bahawa ketiga-tiga pilihan itu dipilih bagi memenuhi cita rasa berbeza setiap pelanggan.
Setiap orang memiliki impian tersendiri, begitu juga dengan Bro Z, yang berhasrat untuk membuka sebuah kafe dan mengembangkan lagi perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.
“Jika saya berjaya membuka sebuah kafe nanti, mungkin saya akan menaikkan harga minuman kepada sekitar RM5
“Namun, bagi segelintir pelanggan, mereka masih terkejut apabila mendengar harga itu kerana dianggap masih mampu milik berbanding minuman kafe lain,” ujar beliau.
Di samping itu, Bro Z menjelaskan bahawa kenaikan harga tersebut adalah disebabkan oleh faktor kos operasi seperti sewa premis dan perbelanjaan lain.
Kredit: Bro Z Syukri via FacebookBro Z, yang juga merupakan bapa kepada seorang anak turut berkongsi pengalaman manis apabila berjaya meraih keuntungan yang tidak disangka-sangka hasil daripada perniagaan yang diusahakannya.
Difahamkan, beliau hanya menetapkan sasaran untuk menjual sebanyak 30 cawan minuman sehari pada awal perniagaan, namun kini Bro Z dapat menjual hampir 150 cawan setiap hari.
“Pernah pada suatu hari hujan lebat, saya terkejut apabila masih ada pelanggan datang membeli air walaupun cuaca begitu sejuk
“Malah, ada ketika sehingga lima atau enam kereta berhenti serentak untuk membeli minuman hingga kami tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya kepada SK lagi.
Jatuh berkali-kali tapi akhirnya bangkit semula
Apabila menyentuh tentang pengalaman pahit dalam dunia perniagaan, Bro Z tidak menafikan pernah melalui detik sukar.
Pernah suatu ketika, beliau membuka sebuah kedai dan menguruskan lebih 70 orang ejen di bawah jenama lain.
Namun, sikap baik hati dan kepercayaannya telah disalah guna, apabila salah seorang ejen meninggalkan hutang berjumlah kira-kira RM10,000.
Apabila beliau bangkit dan memulakan perniagaan dengan jenama sendiri ‘Doni’, Bro Z sekali lagi diuji apabila berdepan dengan ejen yang tidak bertanggungjawab, menyebabkan beliau menanggung kerugian sekali lagi.
“Pada awal tahun ini, saya hampir berputus asa dan terfikir untuk meninggalkan bidang F&B
“Saya kemudian mencuba bidang pertukangan, namun ia tidak berjalan lancar kerana saya terpaksa bermula dari bawah dan belum mempunyai rangkaian untuk menjual barang-barang tersebut
“Namun, semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Dengan kemahiran pertukangan yang saya pelajari, saya gunakan untuk menghasilkan meja bagi kegunaan perniagaan saya,” jelas beliau lagi.
Kredit: Siakap KeliDengan perniagaan yang semakin berkembang dan adanya pembantu, Bro Z mengambil langkah menambah kemudahan dengan mendirikan khemah bagi keselesaan pekerjanya.
Beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu, pelanggan boleh mendapatkan minuman Beego bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang di tepi jalan besar berdekatan Akademi Audit Negara menuju Masjid Bandar Baru Enstek atau dikenali sebagai Mercato.
Selain minuman utama seperti coklat, teh dan kopi, Beego turut menawarkan pilihan istimewa seperti Hokkaido Matcha dan Strawberry Matcha.
Bagi anda yang berada di sekitar Sendayan, Negeri Sembilan, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri keenakan minuman ini di cawangan rakan niaga Sendayan Metropark.