Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Saya Tidak Risau, Kita Hidup Dalam Dunia Yang Gila" - Trump

Dunia Yang Gila
Kredit: AFP

“Saya Tidak Risau, Kita Hidup Dalam Dunia Yang Gila” - Trump

Seorang lelaki yang didakwa melepaskan tembakan pada majlis gala media yang dihadiri Donald Trump pada malam Sabtu lalu, dihadapkan ke mahkamah pada Isnin atas pertuduhan cubaan membunuh presiden serta dua kesalahan berkaitan senjata api, lapor AFP.

Cole Allen, 31, berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya disabitkan bersalah atas cubaan membunuh Trump dalam insiden di majlis makan malam tahunan White House Correspondents' Association di ibu negara Amerika Syarikat.

Allen, yang mengenakan pakaian seragam biru tidak membuat sebarang pengakuan ketika prosiding di mahkamah persekutuan dan kini ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Menurut pendakwa raya, Allen didakwa membawa senapang patah, pistol separa automatik serta tiga bilah pisau ketika cuba merempuh kawalan keselamatan di Washington Hilton, lokasi berlangsungnya majlis berkenaan.

AFP melaporkan beberapa das tembakan telah dilepaskan sebelum suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan berhampiran pusat pemeriksaan keselamatan, namun dia dipercayai tidak pernah menghampiri Donald Trump atau tetamu lain yang berada di tingkat bawah.

Trump segera dibawa keluar dari lokasi kejadian

Pegawai pentadbiran memaklumkan bahawa serangan oleh lelaki dari California itu merupakan percubaan bunuh ketiga terhadap Donald Trump dalam tempoh dua tahun, manakala White House menyalahkan “kumpulan kebencian haluan kiri” sebagai punca kejadian tersebut.

Trump segera dibawa keluar dari lokasi kejadian oleh ejen United States Secret Service sejurus bunyi tembakan kedengaran, manakala rakaman video menunjukkan suspek berjaya melepasi barisan keselamatan pertama.

Walaupun tiada kematian dilaporkan, satu peluru dipercayai mengenai jaket kalis peluru seorang ejen perkhidmatan rahsia yang bertugas dalam insiden berkenaan.

Dalam temu bual bersama CBS pada malam Ahad, Trump ditanya sama ada beliau bimbang akan berlaku korban ketika golongan elit kerajaan dan media di Washington terpaksa berlindung di majlis makan malam rasmi di tingkat bawah.

“Kita hidup dalam dunia yang gila”

“Saya tidak risau. Saya memahami kehidupan. Kita hidup dalam dunia yang gila,” katanya.

Sementara itu, New York Post melaporkan bahawa Allen, sempat menghantar mesej kepada keluarganya sebelum serangan dengan menyatakan sasaran akan diutamakan bermula daripada individu berpangkat tertinggi hingga paling rendah.

Dalam sidang media di White House, Trump berkata beliau pada awalnya menyangka bunyi tersebut berpunca daripada dulang yang terjatuh sebelum menyedari ia sebenarnya bunyi tembakan.

Beliau turut menyifatkan hotel berkenaan sebagai kemudahan yang “tidak begitu selamat”, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap protokol keselamatan presiden memandangkan lokasi itu telah digunakan sejak sekian lama.