Tragedi pilu menimpa sepasang suami isteri apabila bayi lelaki mereka berusia setahun maut, dipercayai tersedak susu di rumahnya di Taman Nusa Intan, Senawang, Seremban, pagi tadi.
Malah, lebih menghibakan, mangsa dikatakan baru sahaja menyambut hari lahir pertama pada awal bulan lalu, seperti memetik laporan Sinar Harian.
Menurut laporan, kejadian yang berlaku pada jam 4.30 pagi itu disedari oleh ibu bapa mangsa apabila terdengar bunyi batuk anaknya.
Ketika itu, arwah yang juga merupakan anak bongsu daripada lima beradik sedang tidur di atas katil bersama mereka.
Bapa arwah kemudiannya melihat bibir arwah telah bertukar kepada warna biru dan bergegas membawanya ke hospital swasta yang berhampiran.
“Bila saya bangun saya tengok dia dah muntah susu dan bibirnya biru. Saya cuba tepuk belakang badan tapi dia tidak lagi bernafas.
“Saya dan isteri kemudian segera membawanya ke hospital swasta yang berhampiran. Sebaik sampai, pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan namun mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya seperti memetik laporan Sinar Harian.
Menurutnya, anaknya baru sahaja keluar hospital petang semalam akibat mengalami demam dan tiada selera makan. Arwah dibenarkan discaj kerana telah sihat dan berada di dalam keadaan baik.
Beliau dan isteri redha dengan ketentuan Allah tetapi merasa sedih dan terkilan kerana baru sahaja menyambut hari lahir arwah.
Sumber: Sinar Harian
