Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

11 Kes Positif COVID-19 Dikesan Di Parlimen Semalam – Noor Hisham

Gambar: BERNAMA

Sebanyak 11 kes positif telah dikesan di Parlimen pada semalam, melibatkan 10 kes melalui saringan RTK Ag saliva test dan satu (1) kes melalui RT PCR.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit setakat pukul 8 malam semalam.

“Daripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan (9) lagi kes dikesan positif COVID-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh (10) kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (1 kes tengah hari dan 9 kes petang).

“Sebanyak dua (2) daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan (8) kes tidak bergejala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, 10 kes positif daripada ujian saringan pengesanan tersebut akan disusuli lanjut oleh Pejabat Kesihatan.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah dimaklumkan mengenai dua kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen pada 29 Julai jam 12.30 tengah hari.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 Julai (Isnin) sehingga 28 Julai (Rabu) dan dilaporkan positif COVID-19 pada 29 Julai semalam melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema.

“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai semalam menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya.

Bagaimanapun siasatan kes mendapati kedua-dua kes tersebut tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga (3) hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Menurut Noor Hisham, kedua-dua kes itu juga dikesan negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

”Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes mendapati kedua-duanya dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” ujarnya.

Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

Dalam masa sama, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada semalam dan tamat pada pukul 8 malam.

“Berikutan pengesanan kes-kes positif COVID-19 tersebut, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu. Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen.

“KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” tambah kenyataan itu lagi.

Sumber: Kenyataan Media KP Kesihatan