Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sebelum Ada Popcorn, Apa Snek Orang Malaysia Ketika Di Pawagam?

Popcorn Snek Pawagam
Kredit: Simply Recipe

Hari ini, kalau pergi tengok wayang tanpa beli popcorn mesti rasa macam ada benda yang tak lengkap sepanjang menonton filem.

Tak kisah pilih perisa caramel, masin atau campur kedua-duanya, popcorn memang sudah cukup sinonim dengan menonton filem di panggung.

Tapi tahu tak, popcorn bukan snek pertama yang menjadi peneman penonton wayang di Malaysia?

Sebelum popcorn jadi popular di pawagam Malaysia, generasi terdahulu lebih biasa mengunyah kacang putih, kuaci dan kudapan rangup semasa menonton wayang.

Jadi macam mana pop corn akhirnya jadi snek utama di pawagam?

Popcorn Sudah Wujud Ribuan Tahun

Sebelum muncul di pawagam, popcorn mempunyai sejarah yang sangat panjang, di mana bukti popcorn tertua ditemui di Peru dan dianggarkan berusia sekitar 6,700 tahun.

Manakala, bukti manusia menikmati popcorn di kawasan yang kini dikenali sebagai Amerika Syarikat pula berusia kira-kira 5,600 tahun.

Masyarakat pribumi di benua Amerika bukan sahaja menjadikan popcorn sebagai makanan, malah ia juga digunakan sebagai bahan dalam upacara dan perayaan.

Pada abad ke-19, popcorn mula popular di Amerika apabila ia mula dijual oleh penjaja di jalanan, pesta dan acara-acara lain.

Kemunculan mesin popcorn mudah alih pada penghujung abad tersebut pula menjadikannya lebih mudah untuk dihasilkan dan dijual kepada orang ramai.

Menariknya, pemilik pawagam pada awalnya tidak begitu suka dengan popcorn kerana mahu mengekalkan imej panggung wayang sebagai tempat yang mewah dan eksklusif.

Popcorn pula dianggap bersepah, berminyak dan bising untuk dimakan, namun keadaan berubah ketika kemelesetan ekonomi pada 1930-an.

Popcorn murah dan mudah untuk dihasilkan, menjadikannya antara makanan yang masih mampu dibeli orang ramai.

Penjual mula menjualnya di luar panggung sebelum beberapa pawagam membenarkan jualan dibuat di lobi.

Akhirnya, pemilik pawagam sendiri sedar bahawa popcorn bukan sekadar snek, tetapi ia juga sumber pendapatan yang lumayan.

Bagaimana Pula Dengan Malaysia?

Pawagam sudah lama sujud di Tanah Melayu, termasuk Coliseum Theatre di Kuala Lumpur yang dibuka pada 1920 namun senk yang dibawa atau dibeli penonton pada zaman dahulu bukanlah popcorn seperti hari ini.

Namun, kacang putih menjadi antara kudapan yang cukup popular dan ia biasanya dijual dalam kon kertas bersama pelbagai jenis makanan ringan lain seperti kacang, kacang kuda, kacang dhal dan murukku.

Penjualnya juga sering berada berhampiran panggung wayang, menjadikan kudapan ini sebahagian daripada pengalaman menonton filem ketika itu.

Selain kacang putih, kuaci juga pernah menjadi pilihan penonton, sehinggakan panggung wayang lama sering dikaitkan dengan kulit kuaci yang berselerak selepas tayangan.

Berbanding popcorn yang kita boleh terus suap ke mulut, kuaci memerlukan penonton memecahkan kulitnya satu demi satu sebelum menikmati isinya.

Dari Kon Kertas Ke Baldi, Popcorn Jadi Snek Pawagam

Apabila industri pawagam berubah daripada panggung lama kepada kompleks dan multiplex moden, pengalaman menonton wayang juga berubah.

Kaunter makanan menjadi sebahagian daripada pengalaman ke pawagam, manakala popcorn pula semakin popular dan dikaitkan dengan aktiviti menonton filem.

Daripada snek yang suatu ketika dahulu dianggap tidak sesuai untuk panggung, popcorn akhirnya menjadi antara makanan yang paling sinonim dengan pawagam.

Intipati
  • Popcorn mempunyai sejarah ribuan tahun sebelum menjadi makanan popular di pawagam moden.
  • Di Malaysia, penonton dahulu lebih biasa menikmati kacang putih, kuaci dan murukku.
  • Perubahan kepada pawagam multiplex menjadikan popcorn semakin sinonim dengan pengalaman menonton filem.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan