Kewajipan menunaikan solat lima waktu tetap perlu dilaksanakan tanpa mengira di mana kita berada, sama ada ketika bekerja mahupun bercuti di luar negara.
Namun, sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, termasuk dalam perkara berkaitan solat.
Baru-baru ini, pelakon Janna Nick berkongsi di media sosial rasa kesal kerana tersalah waktu solat ketika berada di negara baru.
Salah Waktu Solat Ketika Di Luar Negara
“Titik terendah bila kau solat 3 hari berturut-turut di negara baru travel, ikut waktu yang salah sebab lupa tukar lokasi dekat Muslim Pro. Ingatkan dia auto tukar lokasi.
“Nak kena qada ke semua?” katanya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya mencadangkan agar pengacara itu mengqadakan semua solatnya bagi mengelakkan perasaan was-was.
Janna Nick turut membalas komen-komen warganet dan bersetuju bahawa dia sememangnya perlu mengqadakan solat-solat yang dia jalani di luar waktu di lokasi dia sekarang.
Perkongsian Janna itu turut menarik perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd Izhar Ariff yang turut memberikan penjelasan tentang perkara ini.
Menurut Mohd Izhar, hukum jika tersalah waktu solat ketika berada di luar negara bergantung kepada jenis kesilapan waktu.
“Jika solat dilakukan setelah waktu solat masuk di negara tersebut, solat sah.
“Jika solat dilakukan sebelum masuk waktunya, semua waktu solat fardu tidak sah dan wajib qada serta tidak berdosa.
“Jika solat dilakukan selepas waktunya tamat kerana tersalah kira, tidak berdosa dan wajib qada semua solat yang tersalah waktu itu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, jika seseorang itu telah melakukan kesalahan tersebut selama tiga hari berturut-turut, maka mereka perlu menyemak semula waktu solat yang telah dilaksanakan sama ada waktu telah masuk, belum masuk atau telah habis waktu.
“Ini kerana setiap keadaan ada hukumnya seperti yang dinyatakan di atas,” katanya.

