Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebuah Maahad Tahfiz Dua Tingkat Di Jitra Musnah Terbakar
Jeritan seorang ustaz telah berjaya menyelamatkan nyawa 14 orang pelajar apabila sebuah maahad tahfiz di Jalan Sanglang, Pekan Kodiang, Jitra, musnah terbakar pada Isnin.
Seorang tenaga pengajar, Che Aton Yahya, 66, berkata, premis dua tingkat itu dijilat api dengan begitu pantas mengakibatkan semua pelajar tinggal sehelai sepinggang.
Menurut Che Aton, kesemua pelajar baru sahaja bangun tidur dan sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh semasa kejadian kebakaran berlaku.
“Suami saya, Mohd Rofiq Abd Mahmud, 40-an, ternampak api yang masih kecil di bangunan terbabit dan sempat menjerit api-api.
“Alhamdulillah, kesemua pelajar lelaki berusia 8 hingga 16 tahun sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari bilik asrama,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Bagaimanapun, Che Aton berkata, susulan api marak dengan cepat, kesemua pelajar terbabit tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barangan mereka.
Tambah Che Aton, kesemua pelajar itu kini tinggal sementara dengannya di kediaman berdekatan selepas maahad tahfiz yang beroperasi sejak empat tahun lalu itu musnah dalam insiden terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.34 pagi.
Beliau berkata, operasi dibantu oleh anggota BBP Bukit Kayu Hitam dan BBP Simpang Empat, Perlis serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.
“Setibanya di lokasi, didapati rumah dua tingkat kelas B yang dijadikan maahad tahfiz sedang terbakar, namun tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kebakaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Bustan berkata, akses ke lokasi yang agak sempit menyebabkan pihaknya berdeoan kesukaran. Bagaimanapun, api berjaya dikawal kira-kira jam 6.45 pagi.
Tambah beliau, kebakaran premis itu menyebabkan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus. Setakat ini, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
BACA: Cuaca Buruk, Lapan Perjalanan Feri Di Kuala Kedah-Langkawi Dibatalkan
BACA: Wanita Rugi RM658,166, Dakwa Ditipu Lelaki Dikenali Dari Telegram, WhatsApps
Sumber: Sinar Harian