Dalam kehidupan seharian, WiFi sudah menjadi satu keperluan penting, lebih-lebih lagi apabila hampir segala urusan kini bergantung kepada internet.
Daripada bekerja, belajar, menonton hiburan hinggalah mengurus pelbagai perkara harian, semuanya boleh terganggu apabila sambungan internet tiba-tiba bermasalah.
Apabila WiFi mula 'buat hal', bukan semua orang tahu apa sebenarnya punca masalah tersebut.
Kadang-kadang sudah cuba tutup dan hidupkan semula router, periksa kabel dan tunggu beberapa ketika, tetapi masalah masih tidak selesai.
Akhirnya, jalan terakhir adalah menghubungi technician untuk datang membuat pemeriksaan.
Namun, siapa sangka selepas hampir sebulan WiFi tidak boleh digunakan, puncanya bukanlah masalah teknikal yang serius, sebaliknya ada ‘dalang’ lain yang langsung tidak disangka-sangka.
Sebulan WiFi rosak tak boleh guna
Baru-baru ini, perkongsian oleh salah seorang pengguna Threads @hnnalily mencuri perhatian ramai.
“WiFi kat rumah dah sebulan tak boleh guna. Hari ini technician datang periksa, rupanya…” tulisnya menerusi Threads.
Menerusi perkongsian itu, dia turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama ibunya yang memaklumkan bahawa kucing peliharaan mereka, Una, telah menggigit wayar WiFi di rumah.
Masalah yang berlarutan itu akhirnya membawa kepada pemeriksaan oleh technician.
Siapa sangka, selepas diperiksa, punca WiFi tidak dapat digunakan rupanya bukan masalah teknikal yang rumit, sebaliknya disebabkan wayar berkenaan telah digigit oleh Una hingga mengganggu sambungan internet.

Apa yang lebih mencuit hati, ibunya sempat merakam gambar Una yang kelihatan begitu tenang seolah-olah langsung tidak bersalah atas ‘kekacauan’ yang berlaku.
Malah, secara berseloroh, ibunya siap menyuruh Una membayar kos khidmat technician sebanyak RM60, gara-gara ‘perangai nakal’ si bulus itu.

Ibunya turut berkongsi ‘bukti’ yang menunjukkan kesan gigitan gigi Una pada wayar WiFi berkenaan, sekali gus mengesahkan si bulus itu memang ‘dalang’ di sebalik masalah tersebut.
Tidak cukup dengan itu, dia sempat berseloroh mahu menghantar Una bekerja di pasar supaya dapat mengumpul duit untuk membayar kos technician sebanyak RM60.



Reaksi netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak dapat menahan ketawa melihat gelagat Una yang seolah-olah langsung tidak rasa bersalah.
Dengan wajah selamba dan gaya tenang, si 'bulus' itu tetap kelihatan innocent walaupun sudah ada bukti jelas kesan gigitannya pada wayar WiFi.
Pemilik akaun itu turut berseloroh mengucapkan terima kasih kepada netizen yang tampil ‘membela’ Una menerusi ruangan komen.
“Thanks semua dah jadi peguam Una, Una terharu sangat, tapi mami still bebel pasal RM60 dekat Una,” katanya.




