Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sedekah Ramadan, Mak Cik Raih Pujian Kongsi Juadah Berbuka Dengan Orang Tak Dikenali
Umum ketahui, sedekah merupakan satu amalan yang mulia.
Walaupun pemberiannya kecil, maknanya tetap besar kerana ia datang daripada hati yang ikhlas.
Pada bulan Ramadan, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bersedekah kerana pahalanya berlipat ganda.
Tidak kurang juga individu yang sudah terbiasa memberi sehingga amalan bersedekah itu dilakukan tanpa rasa terpaksa atau berkira.
Bagi mereka, melihat orang lain dapat menikmati pemberian dan tersenyum sudah memadai sebagai ganjaran.
Baru-baru ini, tular sebuah hantaran di media sosial memaparkan juadah lauk-pauk berbuka yang dihidangkan di hadapan rumah.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @pokokkakpen di Threads, dia menjelaskan bahawa ibunya memasak lauk berbuka dalam kuantiti yang banyak lalu menghidangkannya kepada sesiapa sahaja.
Difahamkan, hidangan tersebut disediakan tanpa mengira sama ada individu tersebut dikenali mereka ataupun tidak.

Tambahnya lagi, ibunya sudah menyediakan menu yang akan dimasaknya untuk hari berikutnya.
"Esok dia dah plan nak masak nasi dagang dan nasi lemak sebab abah aku balik," ujarnya.
Menurut @pokokkakpen, ini bukan kali pertama ibunya berkongsi makanan.
"Bulan biasa pun mak memang selalu masak ajak jiran makan," jelasnya.
"Memang dia suka jamu orang makan. Abah pula sentiasa sokong. Bukan jamu orang makan je, kalau mereka berdua makan dekat kedai pun akan belanja sesiapa je dekat situ," tambahnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Threads memberi pelbagai reaksi.
Kebanyakannya memuji kebaikan ibunya dan mendoakan agar ianya dibalas dengan baik.
"Semoga Allah memberkati ibu dan keluarga awak sebab berkongsi rezeki dengan orang lain. Semoga Allah balas kebaikan jasa kalian sekeluarga, Amin Ya Mujib," komen seorang warga maya.
"Comelnya mak awak! Haha. Mesti hidup dia tenang je kan. Alhamdulillah," puji seorang netizen.
"Itulah kaya yang sebenar. Terbaik kak. Semoga mak ayah kakak ditempatkan di syurga firdaus. Aamiin," doa seorang lagi warga maya.
