Lapar tetapi tak sempat nak memasak? Zaman kini buka sahaja aplikasi, pilih makanan dan tunggu pesanan sampai ke pintu rumah.
Nak ke tempat kerja atau mana-mana destinasi, tempah sahaja e-hailing.
Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati, ada individu yang menghabiskan kebanyakan masa di jalan raya untuk mencari rezeki.
Bagi mereka yang bergelar penghantar makanan dan pemandu e-hailing, setiap tugasan membawa peluang untuk menambah pendapatan.
Motosikal atau kereta pula ibarat alat dalam mencari rezeki. Daripada hasil itulah datangnya sesuap nasi, duit belanja, sewa rumah dan keperluan anak-anak.
Namun, kadangkala malang tidak berbau.
Bagaimana pula jika dengan satu kemalangan menyebabkan mereka terpaksa berhenti bekerja selama berminggu–minggu atau bulan?
Kerja terhenti, bil dan ansuran bulanan pula tetap perlu dibayar. Dalam keadaan begini, apakah ada sistem yang boleh menjadi payung dalam membantu mereka?
Empat minggu tak boleh bekerja, siapa tanggung belanja?

Bayangkan seorang bapa yang juga penghantar makanan mengalami kemalangan ketika menghantar pesanan pelanggan.
Kecederaan yang dialami menyebabkan doktor memberikannya cuti sakit selama sebulan.
Dalam tempoh ini, sudah tentu dia tidak mampu menunggang motosikal dan mengambil pesanan seperti biasa.
Meskipun berehat di rumah, mungkin fikirannya sudah ditiup komitmen yang sedang menunggu.
“Sewa rumah belum bayar, tarikh ansuran motosikal dah nak dekat. Barang dapur perlu ditambah”
Situasi ini menggambarkan bagaimana kecederaan boleh memberi kesan kepada sumber pencarian seseorang, selain sakit yang terpaksa ditanggung.
Sekiranya mereka mempunyai perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berkuat kuasa, bantuan berkaitan rawatan dan hilang upaya sementara boleh dipertimbangkan.
Namun, kelayakan bergantung pada pengesahan bencana pekerjaan serta syarat faedah, bukannya diterima secara automatik kerana seseorang mengalami kemalangan.
Kerja sendiri pun ada perlindungan PERKESO

Pernah tak terfikir PERKESO hanya untuk mereka yang bekerja makan gaji sahaja?
Mungkin masih ramai yang belum mengetahui sebenarnya, individu yang bekerja sendiri juga mempunyai kelayakan perlindungan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri atau LINDUNG KENDIRI, di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Skim ini merangkumi 20 sektor pekerjaan sendiri, termasuk pengangkutan penumpang, penghantaran makanan atau barangan, perniagaan dalam talian dan penjajaan.

Berdasarkan data yang dikongsikan PERKESO, sebanyak 133,481 pencarum p-hailing di bawah skim pekerjaan sendiri setakat 5 Ogos 2025.
Kalau cedera sampai tak boleh kerja, apa bantuan yang ada?
Seperti senario di atas, manfaat yang paling dekat ialah Faedah Hilang Upaya Sementara.
Menurut PERKESO, faedah ini boleh dibayar sepanjang cuti sakit yang disahkan doktor akibat bencana pekerjaan sendiri.
Tempoh cuti sakit perlu sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan dan sijil cuti sakit perlu dilampirkan.
Kadar harian pula antara RM105.33, mengikut pelan caruman yang dipilih.
Pencarum yang mengalami bencana pekerjaan juga boleh mendapatkan rawatan percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital kerajaan mengikut ketetapan skim.
Perlindungan lain termasuk faedah hilang upaya kekal, bantuan kepada orang tanggungan yang layak serta pemulihan jasmani atau vokasional.
Bagi mereka yang terpaksa menghentikan tugasan, bantuan sebegini boleh membantu menampung sebahagian keperluan ketika menjalani pemulihan.
Berapa sebenarnya yang kena carum?
LINDUNG KENDIRI menyediakan empat pelan caruman tahunan seperti berikut;

Angka “ pendapatan bulanan yang diinsurankan” itu ialah asas perlindungan mengikut pelan. Ia tidak semestinya sama dengan pendapatan sebenar pencarum dan bukan jumlah wang yang akan dibayar setiap bulan secara automatik.
Contohnya, Pelan 1 mempunyai kadar Faedag Hilang Upaya Sementara RM30 sehari. Jika diluluskan sebagai hari yang layak dibayar, pengiraan asas ialah:
RM30 x 14 hari = RM420
Nota kaki: Ini sekadar gambaran pengiraan dan bukanlah jaminan bayaran. Jumlah akhir bergantung kepada keputusan PERKESO, tempoh yang diluluskan dan apa-apa pelarasan berkaitan.
Jadi pekerja Gig automatik dilindungi?

Penting untuk diingatkan kerana kaedah caruman berbeza mengikut cara seseorang bekerja.
Bagi pekerja gig melalui platform risalah rasmi PERKESO menyatakan caruman LINDUNG KENDIRI diwajibkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025, yang berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.
Penyedia platform bertanggungjawab menguruskan pendaftaran serta potongan caruman 1.25 peratus daripada setiap transaksi tugasan yang diselesaikan. Potongan itu datang daripada pendapatan gig.
Sementara pekerja gig bukan berplatform, PERKESO menyatakan mereka boleh terus mencarum secara sukarela. Namun kewajipan berasingan bagi sektor tertentu di bawah Akta 789 tetap perlu disemak.
Meskipun mekanisme potongan sudah ditetapkan, jangan anggap semua urusan akaun sendiri telah selesai. Kaedah pendaftaran manual bagi platform yang belum bersedia dengan integrasi sistem.
Oleh itu, semak pelaksanaan dengan platform masing-masing dan sahkan rekod perlindungan melalui PERKESO.
Potongan tak cukup nak buat macam mana?

Difahamkan, pekerja gig akan menerima notifikasi untuk menambah kekurangan caruman. Bayaran tambahan boleh dibuat melalui portal PRIHATIN, aplikasi PRIHATIN atau pejabat PERKESO.
Satu perkara yang pencarum perlu tahu adalah kekurangan caruman tidak semestinya menyebabkan tuntutan terus tidak layak.
Dua mitos yang kena betulkan
Semua kemalangan pekerja gig dilindungi LINDUNG KENDIRI
Fakta: Perlindungan berkaitan bencana yang berpunca daripada dan berlaku semasa aktiviti pekerjaan sendiri, termasuk perjalanan berkaitan pekerjaan. Status sebagai pekerja gig sahaja tidak layak menjadikan semua kemalangan peribadi layak dituntut.
Kalau tak pernah tuntut, boleh minta balik duit caruman
Fakta: Caruman tidak dipulangkan semata-mata kerana tiada kemalangan atau tuntutan. PERKESO menjelaskan skim ini berasaskan perkongsian sumber dan risiko untuk menyediakan perlindungan sosial.
Jadi, bermula sekarang semak status caruman dan tempoh perlindungan melalui platform PRIHATIN PERKESO atau aplikasi PRIHATIN.
Jika berlaku kemalangan berkaitan pekerjaan;
Dapatkan rawatan dan simpan dokumen perubatan, termasuk sijil cuti sakit.
Laporkan kejadian kepada PERKESO dengan segera.
Lengkapkan Borang PS2, borang notis dan tuntutan faedah pekerjaan sendiri.
Sediakan dokumen mengikut tuntutan.
Senarai semak dan borang boleh diperolehi melalui laman rasmi PERKESO.
Semoga bermanfaat

