Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sekurang-kurangnya 31 Maut, Hampir 400 Hilang Dalam Banjir Kilat Di Sempadan Nepal-Tibet

nepal
Kredit: NDTV

Sekurang-kurangnya 31 orang dilaporkan maut manakala hampir 400 lagi, termasuk pelancong asing, masih hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada Rabu.

Bencana itu melanda daerah Rasuwa, di utara ibu negara Nepal, Kathmandu, pada awal pagi Rabu dan menyebabkan beberapa kampung musnah serta jalan raya dan infrastruktur rosak teruk.

Maklumat awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada gempa bumi yang mencetuskan runtuhan salji, sebelum air daripada salji cair mengalir deras ke Sungai Bhote Koshi.

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan di kedua-dua belah sempadan dengan Tentera Nepal memaklumkan seramai 88 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini.

Lembaga Pelancongan Nepal berkata, usaha sedang dilakukan untuk mengesan 291 pelancong dan 93 warga Nepal, termasuk pemandu pelancong, yang dipercayai berada di kawasan terjejas ketika bencana berlaku.

Mereka yang hilang termasuk lebih 100 pelancong dari India, 12 dari United Kingdom (UK), selain warga Amerika Syarikat, Malaysia, Afrika Selatan dan beberapa negara lain.

Media rasmi China pula melaporkan terdapat korban yang besar di kawasan Tibet, manakala pihak berkuasa Nepal menjangkakan skala kerosakan dan kehilangan nyawa akibat bencana itu adalah tinggi.

Beberapa kawasan di sepanjang Sungai Bhote Koshi yang mengalir dari Tibet ke Nepal kini berada dalam keadaan berjaga-jaga, susulan gangguan terhadap jalan raya, sistem komunikasi dan bekalan elektrik.

Pihak berkuasa turut menutup laluan utama menuju ke Kathmandu.

Rakaman video yang disahkan menunjukkan detik banjir deras menghanyutkan sebuah jambatan sebelum beberapa bangunan bertingkat runtuh akibat kekuatan arus.

BBC Verify mengenal pasti lokasi rakaman itu di kawasan Trishuli Bazaar, Daerah Nuwakot di Wilayah Bagmati, kira-kira 25 kilometer di barat laut Kathmandu.

Dalam rakaman berkenaan, paras Sungai Trishuli dilihat meningkat secara mendadak dengan arus deras membawa sejumlah besar air dan mendapan.

Kira-kira 40 saat selepas rakaman bermula, jambatan berkenaan gagal menahan tekanan arus sebelum dihanyutkan, diikuti beberapa bangunan berhampiran yang turut runtuh beberapa saat kemudian.

Satu lagi rakaman menunjukkan keadaan selepas kejadian dengan paras sungai meningkat dengan ketara, manakala pokok dan sejumlah bangunan yang kelihatan sebelum itu dilaporkan telah dihanyutkan.

Rakaman lain yang dirakam dari dalam sebuah bas pula memperlihatkan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri apabila banjir kilat melanda lembah berkenaan.

Menurut laporan, ramai cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, menunggang motosikal dan menggunakan pelbagai kenderaan ketika air sungai melimpah dan mengalir deras.

Seorang ahli perniagaan China yang berpangkalan di Kathmandu, Yee Liang berkata, syarikat logistiknya kehilangan hubungan dengan tujuh lori kontena yang berada di kawasan berkenaan bersama kakitangan warga Nepal.

“Kami telah terputus hubungan dengan kesemua mereka. Tiada isyarat, jadi kami tidak dapat menghubungi sesiapa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Tentera Nepal, Rajarm Basnet berkata, usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan 115 penduduk dari kampung Mailung.

Kementerian Dalam Negeri Nepal turut memberi amaran kemungkinan berlaku kehilangan nyawa yang besar di Timure, Syabrubesi dan Betrawati.

Banjir itu juga dilaporkan menyebabkan kerosakan terhadap Projek Hidroelektrik Trishuli.

Menteri Luar Nepal, Shishir Khanal berkata, seramai 26 anggota polis, sembilan anggota polis bersenjata dan 44 anggota tentera turut dilaporkan hilang.

Beliau berkata, gempa bumi yang berlaku pada jam 8.37 pagi waktu tempatan dipercayai mencetuskan runtuhan salji sebelum menyebabkan banjir kilat.

Sementara itu, pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal menyeru penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai di kawasan berisiko supaya terus berjaga-jaga dan mengambil langkah keselamatan.

Perdana Menteri Nepal, Belendra Shah pula berkata, tindakan kecemasan sedang diambil dengan kerjasama pasukan perubatan, pengakap dan Bulan Sabit Merah selepas kerajaan mengadakan mesyuarat tergempar bagi menilai situasi semasa.

Kawasan Rasuwa sebelum ini turut dilanda banjir besar pada tahun lalu yang mengorbankan 18 orang selepas kejadian pecahan glasier di kawasan sempadan China.

Sumber:BBC,BBC
Intipati
  • Sekurang-kurangnya 31 maut, manakala hampir 400 masih hilang selepas banjir kilat.
  • Bencana itu dipercayai berpunca daripada gempa bumi yang mencetuskan runtuhan salji.
  • Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dengan 88 mangsa dilaporkan berjaya diselamatkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan