Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, 51, kini dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Perkara itu dikongsikan rakannya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi sebuah video yang dimuat naik di Threads semalam.

Menurut Akbar, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman kini dalam perjalanan pulang selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.
“Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman atau dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.
“Ya ALLAH, lama itu. Anak pun sudah besar. Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa ALLAH SWT, Yasin dapat lepas hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Akbar berkata, beliau turut menghubungi Yasin yang ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dan dipercayai sudah menghampiri Tapah.
“Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu 'update' terbaru saya bersama beliau nanti, insya-ALLAH. Kami sangat gembira,” ujarnya.
Terdahulu, pada 28 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan dan melepaskan Yasin, namun memerintahkan beliau ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, selepas menerima rayuan akhir yang dikemukakan Yasin.
Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

