Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiger Woods Mengaku Tidak Bertanding, Lesen Memandu Digantung Lima Tahun

WOODS
Tangkap layar video Nationwide News

Bintang golf dunia, Tiger Woods, 50, mengaku tidak bertanding (no contest) terhadap pertuduhan memandu secara cuai susulan kemalangan kereta yang berlaku di Florida pada Mac lalu.

Susulan pengakuan tersebut, lesen memandu Woods digantung selama lima tahun.

Dalam prosiding di mahkamah pada Rabu, Woods yang pada awalnya berdepan pertuduhan memandu di bawah pengaruh (DUI), bersetuju menerima pertuduhan yang dikurangkan.

Sebelum prosiding bermula, Woods dilihat duduk di meja pembelaan sambil memandang ke arah galeri mahkamah yang kebanyakannya kosong.

Dia turut hadir bersama teman wanitanya, Vanessa Trump, yang merupakan bekas menantu Presiden Donald Trump dan duduk di belakangnya sepanjang prosiding.

Sebelum ini, Woods mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan DUI selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya melanggar sebuah trak sebelum terbalik di jalan kediaman berhampiran pantai di Jupiter Island.

Menurut laporan pihak berkuasa, anggota polis menemui dua biji ubat tahan sakit dalam poket Woods dan mendapati dia menunjukkan tanda-tanda mengalami gangguan.

Bagaimanapun, ujian pernafasan mendapati tiada alkohol dikesan, manakala Woods enggan menjalani ujian air kencing.

Pendakwa raya dalam kes tersebut berkata, dua pakar toksikologi mendapati bukti yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan Woods berada dalam keadaan terjejas akibat dadah ketika kejadian.

Mereka turut mendapati Woods mempunyai toleransi farmakologi terhadap ubat berkenaan.

Pendakwa raya Thomas Bakkedahl mempertahankan keputusan menerima pengakuan tersebut sambil berkata beliau melakukan apa yang dirasakan wajar.

Selain pertuduhan memandu secara cuai, Woods turut mengaku tidak bertanding terhadap pertuduhan enggan menjalani ujian selepas kemalangan dan didenda AS$1,500.

Hakim Darren Steele turut memberi amaran bahawa Woods akan dipenjarakan semula sekiranya memandu atas apa-apa alasan sepanjang tempoh berkenaan.

Pengakuan no contest bukan pengakuan bersalah, namun tertuduh tidak mempertahankan diri terhadap pertuduhan tersebut dan ia dianggap sebagai sabitan dalam sistem keadilan jenayah.

Dalam kemalangan itu, Woods dan individu yang berada dalam kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, kenderaan Land Rover milik Woods menyebabkan kerosakan kira-kira AS$5,000 kepada trak berkenaan.

Woods sebelum ini memberitahu seorang anggota polis bahawa dia sedang melihat telefon dan menukar stesen radio ketika kenderaannya melanggar trak tersebut.

Sepanjang beberapa tahun lalu, Woods dilaporkan terlibat dalam empat kemalangan kenderaan, termasuk kemalangan pada 2009 yang menyebabkannya berehat daripada jelajah golf.

Kemalangan terbaharu itu turut menyaksikan Woods mengambil cuti daripada kejohanan golf dan dia masih belum kembali beraksi dalam pertandingan.

Menurut rekod mahkamah, Woods turut meninggalkan Amerika Syarikat bagi mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan pesakit dalam.

Dia membuat penampilan awam pertamanya selepas kembali daripada rawatan pada 23 Jun lalu ketika memperkenalkan perancangan Jelajah PGA untuk menyusun semula jadual pertandingan bermula 2028.

Woods masih memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Masa Depan jelajah tersebut selepas ditahan, namun tidak menjawab sebarang soalan ketika penampilan berkenaan.

Intipati
  • Tiger Woods mengaku tidak bertanding terhadap pertuduhan memandu secara cuai di Florida.
  • Lesen memandunya digantung lima tahun selepas pertuduhan DUI terhadapnya dikurangkan.
  • Pendakwa raya berkata bukti tidak mencukupi membuktikan Woods terjejas akibat dadah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan