Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan semangat anak muda yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan sebagai bukti bahawa golongan berkenaan masih menghargai kemerdekaan negara.
Beliau berkata, kehadiran anak muda daripada pelbagai kaum pada sambutan Merdeka Parade di Putrajaya menunjukkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda masih tinggi.
“Saya gembira kerana sambutan masih hangat (betul-betul hangat). Tidak benar sangkaan kononnya anak muda tidak hargai merdeka.
“Saya lihat ramai anak muda Melayu, Cina dan India dalam barisan pemerhati. Muka mereka ria dan jelas mereka sedang sambut kemerdekaan seolah-olah mereka baru merdeka selepas dijajah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurutnya, semangat berkenaan penting untuk memastikan kelangsungan dan keharmonian negara.
“Semangat seperti ini akan kekalkan negara. Tidak ada yang lebih mulia daripada mempertahankan negara tercinta,” katanya.

