Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Aspirasi Bina Gigafactory Sendiri, Pacu Ekosistem Teknologi Bateri Tempatan

GIGAFACTORY
Gambar hiasan. Kredit: Bernama

Malaysia kini menyasarkan untuk beralih daripada sekadar pengguna teknologi bateri kepada negara yang mampu membangunkan serta menghasilkan teknologi berkenaan sendiri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, aspirasi itu bermula dengan pembangunan kemudahan pengeluaran berskala kecil sebelum diperluaskan kepada kapasiti yang lebih besar, termasuk ke arah pembentukan Gigafactory Malaysia menggunakan teknologi tempatan.

Katanya dalam satu perkongsian di Facebook, pembangunan teknologi bateri tempatan penting bagi memperkukuh keupayaan negara dalam industri kenderaan elektrik (EV) serta sektor penyimpanan tenaga.

Menurut beliau, sekitar RM20 juta telah dilaburkan bagi membangunkan teknologi bateri tempatan, termasuk bateri berasaskan kimia Nickel-Manganese-Cobalt (NMC) yang dipertingkat menggunakan graphene bagi meningkatkan prestasi dan kapasiti penyimpanan tenaga.

“Daripada pengguna teknologi bateri, Malaysia mahu menjadi pencipta dan pengeluar teknologi sendiri,” katanya.

Jelasnya, kapasiti pengeluaran berskala megawatt-hour (MWh) dijangka boleh dimulakan seawal September 2026, sekali gus menjadi antara langkah awal ke arah pembangunan kemudahan pengeluaran bateri yang lebih besar.

Beliau berkata, penguasaan teknologi bateri amat strategik memandangkan bateri boleh menyumbang sehingga kira-kira 40 peratus daripada harga sesebuah EV.

“Lebih 80 peratus bateri dunia dihasilkan oleh China pada 2025. Ini menjadikan teknologi bateri bukan sahaja penting kepada industri EV, tetapi juga kepada keselamatan rantaian bekalan, keupayaan teknologi tempatan dan kedaulatan teknologi negara,” ujarnya.

Chang berkata, penguasaan teknologi bateri juga bermakna Malaysia berupaya menguasai sebahagian penting daripada rantaian nilai industri EV, selain membuka peluang kepada pembangunan ekosistem tempatan yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, pembangunan Gigafactory Malaysia boleh menjadi asas kepada pembentukan ekosistem bateri tempatan merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi bateri, pengeluaran, pengkomersialan serta aplikasi EV dan penyimpanan tenaga.

Katanya, langkah itu turut berpotensi membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang bahan termaju, graphene, penyimpanan tenaga dan teknologi pembuatan.

“Pembangunan Gigafactory Malaysia menunjukkan bagaimana R&D boleh diterjemahkan kepada teknologi, produk dan kapasiti pengeluaran sebenar,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya skala pengeluaran berjaya ditingkatkan, usaha itu mampu membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar, memperkukuh ekosistem EV dan penyimpanan tenaga, mewujudkan industri serta pekerjaan berkemahiran tinggi dan membina teknologi strategik milik tempatan.

Intipati
  • Malaysia mahu beralih daripada pengguna bateri kepada pencipta dan pengeluar teknologi tempatan.
  • Kira-kira RM20 juta dilaburkan bagi membangunkan bateri NMC dipertingkat menggunakan graphene.
  • Kapasiti pengeluaran berskala MWh dijangka boleh dimulakan seawal September 2026.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan