Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sembilan Mahasiswa Terjejas Kebakaran Kampung Numbak Terima Bantuan RM3,000 Setiap Seorang

mahasiswa
Kredit: Facebook Zambry Abd Kadir

Seramai sembilan mahasiswa daripada enam institusi pendidikan tinggi yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Numbak, Kota Kinabalu menerima bantuan awal sebanyak RM3,000 setiap seorang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kebakaran berkenaan bukan sahaja menyebabkan mahasiswa terbabit kehilangan tempat tinggal dan harta benda, malah turut memusnahkan buku, komputer serta keperluan pembelajaran mereka.

Kredit: Facebook Zambry Abd Kadir

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah menyalurkan sumbangan RM3,000 kepada setiap pelajar sebagai bantuan awal susulan musibah berkenaan.

“Saya juga telah meminta universiti dan institusi masing-masing menyediakan bantuan susulan, termasuk penginapan, keperluan pembelajaran, bantuan kewangan serta sokongan psikososial,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau turut menziarahi keluarga mahasiswa terbabit bagi melihat sendiri keadaan mereka selepas kejadian berkenaan.

Menurutnya, beliau turut berkesempatan menziarahi dua pelajar baharu iaitu Nur Kyra Alya yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Norsarina yang akan mengikuti program Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Sebak saya melihat keadaan rumah adik Norsarina hingga hilang kata-kata. Insya-Allah kita akan cuba lihat dan bantu keluarga ini,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua pelajar berkenaan mempunyai tekad untuk melanjutkan pengajian, namun berdepan kekangan kewangan bagi membuat persediaan serta urusan pendaftaran ke universiti.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama YPS telah menghulurkan bantuan kewangan, manakala UMS dan UPM akan membantu memastikan urusan pendaftaran kedua-dua pelajar itu berjalan lancar.

“Saya berpesan kepada mereka, jangan sekali-kali mengalah. Jika ada kesulitan, maklumkan kepada universiti atau Kementerian. Insya-Allah, kita akan mencari jalan,” ujarnya.

Menurut Zambry, pendekatan itu selari dengan usaha KPT untuk memastikan mahasiswa bukan sekadar mendapat akses ke institusi pendidikan tinggi, tetapi turut menerima sokongan bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian.

“Kita bukan sekadar membuka pintu universiti, tetapi mesti membantu anak-anak ini melangkah masuk dan memastikan mereka mampu meneruskan pengajian.

“Kemiskinan, musibah keluarga atau kekangan perjalanan tidak boleh dibiarkan menutup pintu masa depan mereka. Kita akan sentiasa hadir untuk membantu, insya-Allah,” katanya.

Intipati
  • Sembilan mahasiswa daripada enam institusi menerima bantuan awal RM3,000 setiap seorang melalui YPS.
  • Kebakaran Kampung Numbak menyebabkan pelajar kehilangan tempat tinggal, harta benda dan keperluan pembelajaran.
  • Zambry meminta institusi menyediakan bantuan susulan termasuk penginapan, kewangan dan sokongan psikososial.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan