Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Senarai 10 Jenama Malaysia Paling Bernilai 2026
Jenama-jenama terbesar Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh walaupun ekonomi dunia berdepan pelbagai cabaran.
Menurut laporan Malaysia 100 2026 yang diterbitkan oleh firma perunding penilaian jenama terkemuka dunia, Brand Finance, nilai keseluruhan 100 jenama teratas negara meningkat lima peratus kepada AS$62.2 bilion pada tahun ini.
Bagi tahun ke-16 berturut-turut, PETRONAS kekal sebagai jenama paling bernilai di Malaysia dengan nilai jenama sebanyak AS$13.8 bilion.
Walaupun nilainya susut empat peratus berbanding tahun sebelumnya akibat harga tenaga global yang lebih rendah, syarikat itu masih mengekalkan kedudukan teratas hasil prestasi perniagaan yang stabil serta pelaburan berterusan dalam sektor tenaga masa depan.
Sementara itu, di tempat kedua ialah Genting yang mencatatkan peningkatan nilai jenama sebanyak 23 peratus kepada AS$6 bilion.
Lapor Brand Finance, prestasi ini didorong oleh pemulihan sektor pelancongan serantau serta peningkatan operasi dalam segmen perhotelan dan rekreasi.
Manakala, Maybank mengekalkan kedudukan ketiga dengan nilai jenama AS$5.4 bilion, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil, pengurusan kos yang berdisiplin serta peningkatan kualiti aset di pasaran utama ASEAN.
Dalam pada itu, laporan Brand Finance turut menilai kekuatan jenama menerusi Indeks Kekuatan Jenama (BSI).
Genting sekali lagi muncul sebagai jenama paling kukuh di Malaysia dengan skor BSI 92.1 daripada 100 dan penarafan AAA+, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Brand Finance.
Di tempat kedua ialah Tenaga Nasional dengan skor 91.5/100 dan penarafan AAA+. Manakala, PROTON berada di kedudukan ketiga dengan skor 90.7/100 walaupun nilai jenamanya menurun 17 peratus kepada AS$260 juta.

Selain jenama paling bernilai, laporan itu turut menamakan 100PLUS sebagai jenama yang mencatat pertumbuhan terpantas tahun ini. Nilai jenamanya melonjak 166 peratus kepada AS$190 juta.
Pencapaian tersebut mencerminkan kedudukan semakin kukuh jenama minuman isotonik itu dalam pasaran Asia Tenggara, khususnya dalam segmen minuman berkaitan hidrasi dan prestasi sukan.
Brand Finance turut menamakan Westports dan MISC sebagai antara jenama yang perlu diberi perhatian pada tahun ini.
Nilai jenama Westports meningkat 21 peratus kepada AS$149 juta hasil peningkatan jumlah pengendalian kontena dan pelaksanaan pelan pengembangan kapasiti yang mengukuhkan peranannya sebagai hab perdagangan utama serantau.
Sementara itu, nilai jenama MISC meningkat kepada AS$678 juta, disokong oleh keuntungan yang lebih tinggi serta peranannya yang semakin penting dalam penyelesaian maritim berkaitan tenaga dan inisiatif perkapalan rendah karbon.
Dari segi kelestarian, PETRONAS mencatat Nilai Persepsi Kelestarian (SPV) tertinggi dalam kalangan jenama Malaysia, iaitu sebanyak AS$1.3 bilion.
Pencapaian itu didorong oleh pelaburan berterusan syarikat dalam penyelesaian tenaga rendah karbon. Ini termasuk teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon, hidrogen serta projek tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan sasaran mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
PETRONAS juga merekodkan nilai jurang positif tertinggi sebanyak AS$156 juta, menunjukkan potensi besar untuk meningkatkan lagi nilai jenama melalui komunikasi yang lebih meluas mengenai pencapaian kelestariannya.
Selain itu, Tenaga Nasional menonjol menerusi pelaksanaan inisiatif alam sekitar seperti pengembangan tenaga boleh diperbaharui dan pemodenan grid elektrik. Manakala, Maybank diiktiraf atas impak sosialnya melalui program keterangkuman kewangan dan pembangunan komuniti.
Dalam aspek tadbir urus pula, Dutch Lady Milk Industries Berhad menerima penilaian positif hasil komitmennya terhadap penglibatan pihak berkepentingan, ketelusan serta kerjasama jangka panjang dengan komuniti.