Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Seramai 16 Individu Didenda, Lakukan Khidmat Masyarakat Kerana Langgar PKP

Gambar: BERNAMA

KOTA KINABALU, 9 April — Seramai 16 individu termasuk tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan pelbagai kesalahan termasuk berjoging dan meminum alkohol sambil berkaraoke di pusat hiburan.

Iklan

Kesemua tertuduh berusia antara 20 dan 40 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Mereka ialah Elisen Abdul Rasan, Harfan Haryadie, Yusof Hassan, Rahmdan Abdul Aziz, Faizal Halim, Kong Kai Hung, Chiew Ken Hau, Jacob Arthur Kimlon, Jeshua Leong Chee Peng, Mohd Akhbar Busra, Roneal Sundang, Syariful Nizam Jamrang, Jeremiah Charles Barero dan tiga lagi wanita iaitu Rahmah Jack, Siti Aisah Mohd Osman serta Sazuandy Paunil.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM500 hingga RM1,000 atau penjara tiga bulan dan empat bulan jika gagal membayar denda dan juga mengenakan Perintah Kehadiran Wajib iaitu melakukan khidmat masyarakat selama empat bulan atau penjara empat bulan jika gagal mengikuti perintah berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati melanggar PKP dan gagal menunjukkan sebab munasabah dan mereka ditahan dalam rondaan yang dilakukan anggota polis sejak 2 April sehingga semalam di beberapa kawasan di sekitar daerah ini.

Mereka didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam, bagaimanapun beberapa tertuduh yang diwakili peguam Lim Ming Zoong dan Ram Singh memohon hukuman ringan kerana ada antara mereka telah berkahwin, mempunyai anak, dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sumber: BERNAMA