Sheikh Awad Moawad Al-Subhi Al-Harbi yang dipercayai merupakan lelaki tertua di Makkah Al-Mukkaramah dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 134 tahun semalam, lapor Haramain Sharifain.
Bagaimanapun berdasarkan laporan media, punca kematiannya masih belum dikenal pasti lagi setakat ini.
Difahamkan ketika hayatnya, beliau turut diberi gelaran ‘Merpati Haram’ kerana terkenal sebagai seorang tokoh di Masjid Al Haram yang istiqamah menghadiri solat berjemaah lima waktu.
Imbas kembali beberapa tahun lalu, rakaman perbualannya bersama seorang jemaah mengenai kerajianannya untuk istiqamah menunaikan solat fardhu berjemaah di Masjidil Haram walaupun pada usia sedemikian tular di media sosial.
Selain itu, walaupun usianya sudah melangkah senja namun beliau turut dilihat sering berada di masjid suci itu walaupun bukan pada musim haji.
Sejak dari itu, Sheikh Awad Moawad mula begitu dikenali dalam kalangan jemaah tempatan mahupun antarabangsa.
Rakaman video tersebut dikongsikan kembali oleh The Holy Mosque’s @theholymosques, iaitu laman Twitter rasmi Masjidil Haram ekoran mengingati berita kematiannya.
“Sheikh Awad Moawad Al-Subhi Al-Harbi yang digelar ‘The Dove of the Sanctuary’ (Merpati Haram) kerana tekun menunaikan solat di Masjid Al Haram telah meninggal dunia.
“Beliau dianggap sebagai salah seorang yang paling lama hidup di Makkah selepas meninggal dunia pada usia 134 tahun,” tulis ciapan itu.
Ekoran itu, ramai yang berkongsi kenangan mereka bersama Sheikh Awad Moawad selepas mendapat tahu mengenai kematiannya.
Rakaman video Sheikh Awad Moawad tersebut boleh ditonton menerusi Twitter The Holy Mosque di bawah.
Sumber: Haramain Sharifain & The Holy Mosque
