Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Siap Senarai Penuh Menu Jualan, Bazar Ramadan Putrajaya Raih Pujian Ramai
Hari ini merupakan hari pertama bagi seluruh umat Islam untuk menyempurnakan ibadan berpuasa. Sudah tentu, ramai yang sudah mula berpusu-pusu mengunjungi bazar Ramadan terdekat.
Dari makanan berat, lauk-pauk, minuman hinggalah manisan, semuanya boleh didapati di bazar Ramadan.
Malah, bagi golongan yang tidak sempat menyediakan juadah berbuka, mungkin membeli di bazar merupakan pilihan cepat dan mudah yang boleh dilakukan.
Namun, dalam puluhan atau ratusan gerai yang ada di sepanjang bazar, sudah tentu ramai yang tidak tahu ataupun buntu untuk memilih makanan yang ingin dibeli.
Berbeza pula dengan bazar Ramadan di Putrajaya ini.
Kali ini, Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya dilengkapi dengan panduan ataupun senarai gerai dan makanan yang dijual bagi memudahkan pembeli untuk membeli makanan.
Menurut perkongsian dari @malaypulse di laman Thread, dengan panduan yang disediakan, pengunjung dapat merancang juadah yang ingin dibeli serta gerai yang ingin dituju.
Sudah tentu, usaha ini dapat menjimatkan masa, di samping mampu mengurangkan kesesakan serta memudahkan pergerakan orang ramai di bazar.

Dengan jumlah sebanyak 291 lot niaga yang ada, bazar ini juga dilengkapi dengan pelbagai pilihan gerai bermula dengan gerai jualan lauk-pauk sehingga kaunter bayaran zakat.
Beroperasi dari jam 3 petang sehingga 8 malam, orang ramai boleh mengunjungi bazar ini.
Dengan alternatif yang dilaksanakan ini, ia sememangnya menerima pujian dari ramai pihak terutamanya pengunjung yang ingin mengunjungi bazar tersebut.
Selain itu, bazar ini juga turut melaksanakan kempen Go Green sepanjang tempoh beroperasi.
Berikutan itu, peniaga tidak akan menyediakan plastik sekali guna kecuali beg biodegradasi yang akan dikenakan caj sebanyak RM0.20.
Oleh itu, pengunjung dinasihat untuk membawa bekas makanan atau beg sendiri dari rumah.








