Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sikap sambil lewa, kurang rasa tanggungjawab dan kegagalan memupuk budaya akauntabiliti dalam pelaksanaan projek kerajaan dikenal pasti antara faktor utama yang menyebabkan ketirisan serta kerugian wang pembayar cukai terus berulang.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun negara sudah menghampiri tujuh dekad kemerdekaan dan melalui beberapa pertukaran kerajaan, kelemahan dalam pengurusan projek awam masih berulang tanpa penyelesaian yang tuntas.
Menurut beliau, teguran yang dibangkitkan berhubung pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai usaha memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dalam pengurusan projek melibatkan dana awam.
“Saya tahu ada yang tidak gembira apabila saya berkongsi apa yang berlaku dengan projek LRA di Kedah. Ada yang menggelarkan saya sebagai ‘ceplos’ kerana menyentuh kelemahan pengurusan projek yang menggunakan wang pembayar cukai.
“Ada juga yang berpendapat perkara itu bukan bidang tugas saya dan menteri hanya perlu memberi tumpuan kepada dasar. Namun saya mohon maaf kerana kita tidak boleh lagi bekerja secara business as usual,” katanya menerusi satu hantaran di platform X.
Akmal Nasrullah berkata, isu tersebut bukan sekadar melibatkan aspek dasar kerana dasar kerajaan sentiasa berubah mengikut keperluan semasa, sebaliknya membabitkan perubahan sikap, budaya kerja dan mentaliti dalam pelaksanaan projek kerajaan.
Beliau berkata, perkembangan projek LRA di Kedah telah lama dipantau, termasuk ketika penyelarasan projek berkenaan dipindahkan daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kepada Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, beberapa teguran dan peringatan telah disampaikan sebelum ini, namun beliau tidak melihat penambahbaikan yang sewajarnya sehingga kebimbangan yang dibangkitkan akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya sudah lakukan apa yang termampu, namun amaran yang diberikan tidak diendahkan sehinggalah nasi menjadi bubur,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pengurusan projek kerajaan perlu diperkasakan dengan budaya integriti, akauntabiliti dan rasa tanggungjawab yang tinggi supaya setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berhemah serta memberi manfaat maksimum kepada negara dan masyarakat.