Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Sindiket ‘Dudley’ Ditumpaskan Di Sarawak

syafiq halim

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan Operasi Khas dikenali sebagai ‘Ops Dudley’ yang mensasarkan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Operasi ini dijalankan pada 19 Ogos 2023 sehingga 22 Ogos 2023 di sekitar Negeri Sarawak dengan disertai oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak.

Dalam operasi ini seramai lima orang ahli sindiket telah berjaya ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada ketua sindiket iaitu seorang lelaki rakyat tempatan berumur 40 tahun yang dikenali sebagai ‘Dudley’ dengan dibantu oleh empat orang lelaki warganegara India berumur antara 25 hingga 40 tahun.

Sindiket 'Dudley'

Pasukan operasi juga berjaya menyelamatkan 12 orang lelaki warganegara India yang menjadi mangsa kepada sindiket ini. Berdasarkan maklumat, mangsa perlu membayar sekitar RM20,000 hingga RM25,000 seorang kepada sindiket untuk menguruskan kemasukan ke Malaysia.

Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan negara dibuka semula. Modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan di atas kapal kepada mangsa yang akan dibawa ke Malaysia melalui KLIA bagi membolehkan mangsa mendapat penerbangan ke Miri dan Sibu.

Sindiket 'Dudley'

Pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM600, 75 naskah pasport India, 7 naskah pasport Indonesia, 3 naskah pasport Myanmar, 4 buah komputer riba, 1 buah kenderaan Toyota Land Cruiser, 1 buah kenderaan Honda City dan 1 buah kenderaan Suzuki Vitara.

Dalang utama warga tempatan telah direman selama tujuh hari manakala empat lelaki warga India ditahan di Depot Imigresen Semuja. Mereka semua ditahan untuk disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Sementara itu, kesemua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan mangsa ATIPSOM.

Jabatan ini akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang. Orang ramai juga digesa supaya terus menyalurkan sebarang maklumat yang dapat membantu Jabatan dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan.

Sindiket 'Dudley'