Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Sisa Jerami Padi Menghasilkan Produk Kelestarian Industri Di Peringkat Global 

Nurul Naqiyah
sisa jerami

Sisa Jerami Padi Menghasilkan Produk Kelestarian Industri Di Peringkat Global

GURUN, 05 Disember 2024 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyokong penuh kerjasama awam-swasta antara Bioeconomy Corporation dan syarikat BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd, dalam memacu industri terbiodegradasi di Kedah melalui pemprosesan sisa jerami padi menggunakan enzim bioteknologi. Inisiatif ini menghasilkan produk pembungkusan terbiodegradasi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM60 juta mulai 2025, merangkumi negara seperti Jerman, Belanda, Jepun, dan United Kingdom.

Semasa lawatan kerja ke fasiliti syarikat Free The Seed di Gurun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tuan Chang Lih Kang berkata kini Kedah bukan sahaja merupakan pengeluar utama padi di Malaysia tetapi hab di mana sisa jerami padi diubah menjadi ’emas hijau’ menerusi aplikasi bioteknologi. Beliau menambah bahawa kerjasama ini telah berjaya mewujudkan rantaian nilai yang memberi peluang pendapatan tambahan kepada pesawah dan komuniti setempat.

“Lanjutan daripada kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Free The Seed, pesawah dari kawasan ini dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM3 juta setahun bermula tahun 2025, hasil daripada penjualan sisa jerami padi. Setakat ini, seramai 618 orang pesawah telah menyertai projek ini, dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 3,700 pesawah apabila operasi penuh dimulakan pada tahun 2025.”

Ini membuktikan potensi besar bioteknologi dalam mengubah sisa jerami padi menjadi ‘emas hijau’, yang memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan peladang, mencipta peluang pekerjaan, memacu ekonomi kitaran, dan menyokong kelestarian alam sekitar, selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan agenda pembangunan mampan negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, En Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, tambahan kapasiti kerjasama ini dijangka mencapai pengeluaran sebanyak 120 juta unit produk pembungkusan terbiodegradisasi setahun untuk pasaran perubatan, makanan, perindustrian, dan elektronik.

“Melalui sesi libat urus industri serta akses kepada pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta, Bioeconomy Corporation telah menyokong Free The Seed dalam mengembangkan pasaran mereka. Pada awalnya tertumpu kepada pembungkusan makanan dan penjagaan kesihatan untuk pasaran eksport, mereka kini berjaya memasuki sektor baharu termasuk penjagaan kesihatan tempatan, industri semikonduktor, dan industri tenaga mampan. Sokongan ini juga membantu Free The Seed meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang dalam sektor-sektor ini,” kata En Khairul.

Kerjasama ini turut membawa kepada pengembangan operasi yang berjaya mencipta penambahan sebanyak 120 peluang pekerjaan baharu, dengan 30 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja berkemahiran TVET.

Ekonomi kitaran yang ditekankan oleh Kerajaan Malaysia MADANI bukan sahaja mengutamakan konsep guna, pulang, dan cipta semula untuk mengurangkan pembaziran, tetapi juga mencerminkan visi kerajaan dalam mengurus sumber negara secara cekap dan mampan. Kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Free The Seed membuktikan dasar proaktif kerajaan mampu memacu pertumbuhan syarikat multinasional dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri bio-pembungkusan.

Melalui penggunaan teknologi tempatan berasaskan biojisim, khususnya jerami padi, inisiatif ini turut berupaya menjadi ikon kredit karbon Malaysia, selaras dengan pelan hala tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang digariskan oleh kerajaan Malaysia MADANI, memastikan pembangunan yang inklusif, lestari, dan berdaya saing demi kesejahteraan serta manfaat untuk seluruh rakyat.