“Sisi Yang Patut Dicontohi”, Warga Indonesia Kagum Lihat 'Perkara' Ini Dianggap Normal Di Malaysia
Bagi warga Malaysia, menghadapi kesesakan lalu lintas dengan penuh kesabaran sudah menjadi kebiasaan, apatah lagi ketika waktu peak hour selepas tamat waktu bekerja.
Walaupun ada yang terperangkap hampir berjam dalam kesesakan lalu lintas, namun warga Malaysia memilih untuk berbaris dan tidak menggunakan hon kecuali jika perlu.
Namun begitu, perkara ini menimbulkan persoalan dari seorang warga Indonesia yang menganggap perkara tersebut tidak biasa.
Warga Indonesia Kagum Lihat Budaya Memandu Malaysia
Menerusi satu hantaran di TikTok, @arik_nyet berkongsi satu video memaparkan kesesakan lalu lintas di laluan keluar Bandar Sri Putra dan Bukit Mahkota.
Pada video tersebut, kelihatan kesemua kereta berbaris dengan kemas tanpa ada sesiapa yang membunyikan hon atau memotong barisan tersebut.
Susulan itu, @arik_nyet meluahkan rasa terkejut atas disiplin dan kesabaran warga Malaysia menghadapi kesesakan lalu lintas tersebut.
“Aku baru tahu ternyata di Malaysia benda macam ni memang dianggap normal,” tulisnya dalam video.
Sementara itu, @arik_nyet turut menyambung pujiannya di ruangan kapsyen.
“Memang aku rasa Malaysia ada sisi yang patut dicontohi. Jem beratur, tak ada bunyi hon, patuh lampu merah, bagi laluan dan ikut aturan jalan. Setuju atau tak?” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya dari Malaysia turut tertanya-tanya mengapa tindakan berbaris dalam kesesakan lalu lintas dan tidak menggunakan hon itu dianggap tidak normal oleh warga Indonesia.
Menurut @adra, dia seringkali melihat warga Indonesia mempersoalkan perkara tersebut hingga menyebab dia turut serta berfikir bagaimana budaya memandu di Indonesia.
Terdapat juga warga maya yang berseloroh rakyat Malaysia sememangnya suka beratur tidak kira dalam kereta mahu pun ketika membeli barangan.
Dalam pada itu, ada juga yang berkata tindakan menekan hon tidak akan dapat mengubah keadaan lalu lintas yang sesak, maka rakyat Malaysia memilih untuk tidak menggunakannya.
Walaupun kesesakan lalu lintas mungkin sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia, reaksi warga Indonesia tersebut membuktikan bahawa perkara yang kita anggap kecil sebenarnya boleh menjadi sesuatu yang menarik perhatian orang luar.
Jadi, selepas ini kalau terperangkap dalam kesesakan dan melihat semua orang masih sabar beratur tanpa membunyikan hon, mungkin kita boleh anggap ia sebagai salah satu budaya kecil yang wajar dibanggakan sebagai rakyat Malaysia.


