Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sokongan Pas Kepada BN Bukti Parti Tidak Berpolitik Sempit - Annuar

BN
Kredit: Bernama

Sokongan Pas Kepada BN Bukti Parti Tidak Berpolitik Sempit - Annuar

Keputusan Pas untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan sebagai langkah berasaskan prinsip, bukannya emosi atau kepentingan politik sempit.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pas Pusat semalam itu dibuat demi memastikan kepimpinan Johor terus bertunjangkan Melayu dan Islam.

Menurut beliau, sokongan tersebut diberikan di kerusi yang tidak ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) menguasai negeri berkenaan.

Ujarnya, Pas kekal dengan pendirian menolak fahaman politik berteraskan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang dikaitkan dengan DAP, selain menolak sekularisme, pluralisme dan liberalisme.

“Sokongan Pas juga satu pengiktirafan kepada cara Johor mengekalkan dasar NO PH NO DAP,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Pas memutuskan untuk menyeru pengundi Johor supaya tidak memberikan undi kepada PH, termasuk di kawasan yang menyaksikan saingan dua penjuru antara BN dan PH.

Ketetapan itu sekali gus bermaksud ahli serta penyokong Pas digesa mengundi calon BN di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas bagi PRN Johor ke-16 berkata, Pas turut menawarkan 11 kawasan yang ditandingi sebagai medan ‘referendum’ bagi menolak kerjasama yang didakwanya sebagai ‘UMDAP’.

Menurutnya, 11 kerusi tersebut hanya mewakili kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor dan tidak menggugat kedudukan BN.

Beliau berkata, langkah itu sebaliknya memberi ruang kepada pengundi Melayu Islam untuk menyatukan undi dan menentukan hala tuju politik negara.

“Dengan referendum 11 kawasan di mana undi Melayu Islam disatukan dengan memilih Pas, kita percaya ia bakal mencetuskan penolakan terhadap kewujudan ‘UMDAP’ di pusat dan menghidupkan kembali Muafakat UMNO-Pas yang bakal menunjangi politik nasional,” ujarnya.